681 usul daripada bahagian diterima menjelang Perhimpunan Agung UMNO - Media Shah Alam

Header Ads

681 usul daripada bahagian diterima menjelang Perhimpunan Agung UMNO

Admin:Mohamad/Email:mediashahalam@gmail.com

KUALA LUMPUR 8 Nov. – Seba­nyak 681 usul daripada bahagian diterima menjelang Perhimpunan Agung UMNO yang akan dibincang dan dirumuskan dalam Konvensyen Pemerkasaan Agenda Ummah (Konvensyen PAU) pada 20 November ini di Pusat Da­gangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, mengikut analisis ka­tegori pindaan perlembagaan 10, sebanyak 108 usul yang berkisar tentang politik diterima; ekonomi (29); agama (62); sosial (83); pendidikan (98) dan lain-lain (120).

Menurutnya, konvensyen ter­sebut adalah kali kedua diadakan selepas mendapat maklum balas yang cukup positif selepas diadakan buat julung kalinya tahun lalu.

“Pada tahun ini UMNO me­ngambil pendekatan lebih bersifat inklusif iaitu pendekatan menyantuni dan mengambil kira suara hati dan pandangan pelbagai kelompok berkepentingan daripada akar umbi yang terdiri daripada tokoh-tokoh akademik, ulama, profesional, belia, mahasiswa, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pe­mimpin UMNO pelbagai peringkat.

“Saya anggap konvensyen ini merupakan sebahagian daripada perjalanan kita untuk ke Perhimpunan Agong UMNO yang akan bermula pada 29 November ini,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Konvensyen PAU di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.
Asyraf Wajdi yang juga Pe­ngerusi Konvensyen PAU pula berkata, objektif konvensyen tersebut adalah menzahirkan bahawa UMNO sebagai sebuah parti inklusif dan demokratik yang sentiasa mendengar denyut nadi rakyat.

“Konvensyen ini merupakan platform bagi semua lapisan termasuk pakar akademik, ketua-ketua masyarakat dan lain-lain untuk bersama-sama meningkatkan pemerkasaan agenda ummah kerana pada akhirnya tujuan UMNO adalah untuk menyantuni rakyat.

“Melalui konvensyen ini juga kita dapat pastikan bahawa UMNO merupakan sebuah parti yang benar-benar lain,” ujarnya.

Sementara itu, mengulas me­ngenai tindakan Tun Dr. Mahathir Mohamad menghadiri mesyuarat bersama ahli Parlimen pembangkang di Parlimen hari ini, Hishammuddin memberitahu, tin­dakan Tun Dr. Mahathir itu bukan perkara ganjil kerana ia satu lagi usaha beliau menyerang kepe­mimpinan negara.

Menurut beliau, tindakan bekas Perdana Menteri itu walau bagaimanapun tidak akan mampu menjatuhkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang utuh dengan kesatuan anggotanya.

“Macam-macam dia buat kepada UMNO, namun kita terus bersatu kerana kekuatan UMNO bukan kepada individu sebalik­nya mencakupi semua ahli dan pemimpin di peringkat akar umbi, cawangan, bahagian, negeri dan Pusat.

“Dia serang Presiden (Datuk Seri Najib Tun Razak) kita pertahankan kerana Presiden kita, macam juga kita pertahankan beliau dahulu kerana beliau Pre­siden parti,” katanya.
-Utusan Malaysia

Berita Terkini

    Tiada ulasan

    Dikuasakan oleh Blogger.