Bawa pisau ke balai polis, buruh dijel 5 tahun - Media Shah Alam

Header Ads

Bawa pisau ke balai polis, buruh dijel 5 tahun

KOTA BHARU – Padah bawa pisau ketika membuat laporan di balai polis, seorang buruh dihukum penjara lima tahun oleh mahkamah sesyen, di sini, semalam.

Hakim, Nazri Ismail menjatuhkan hukuman itu terhadap Faizamanudrshah Mat Yazid, 29, selepas tertuduh mengaku salah.

Tertuduh yang beralamat di Kampung Pemberian, Kuala Krai, mengaku salah memiliki pisau bersarung dan berhulu kayu sepanjang 20 sentimeter di hadapan Balai Polis Laloh, Kuala Krai, pada jam 11.15 pagi, 31 Oktober lalu.

Kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun serta boleh dikenakan sebatan.

Pendakwaan dikendalikan timbalan pendakwa raya negeri, Fahrul Razi Zainal Abdin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Hukuman diarah berkuat kuasa dari tarikh tertuduh ditahan.

Sebelum ditahan, tertuduh bersama seorang lagi rakannya datang ke balai itu dengan menaiki kereta jenis Proton Wira untuk membuat laporan berhubung satu kes, dan anggota yang mengambil laporan itu bertanyakan soalan sebelum suspek memberi jawapan yang mencurigakan.

Secara tiba-tiba, suspek bertindak agresif dengan merampas kad pengenalannya dari tangan anggota dan cuba melarikan diri dengan merempuh pintu balai hingga tercabut. Anggota bertindak mengejar mereka dan seorang iaitu tertuduh berjaya ditahan.

Pemeriksaan badan menjumpai pisau dalam poket depan sebelah kiri seluar yang dipakai tertuduh.


Berita Terkini

    Tiada ulasan

    Dikuasakan oleh Blogger.