BEKAS PENGAWAL DIBEBAS TUDUHAN BUNUH PEGAWAI BANK - Media Shah Alam

Header Ads

BEKAS PENGAWAL DIBEBAS TUDUHAN BUNUH PEGAWAI BANK

Admin:Mohamad/Email:mediashahalam@gmail.com

JOHOR BAHRU: Seorang bekas pengawal keselamatan dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, daripada pertuduhan menikam mati pegawai bank di Taman Molek, April tahun lalu.

Mahkamah bagaimanapun memerintahkan tertuduh, Rosly Mohd Ismail, 45, menjalani rawatan psikiatri di Hospital Permai, Tampoi, dekat sini, sehingga mendapat pengampunan Yang di-Pertuan Agong.

Hakim Datuk Mohd Sofian Abd Razak membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan tetapi pada masa sama peguam bela membuktikan Seksyen 84 Kanun Keseksaan iaitu ketika kejadian tertuduh disahkan tidak waras kerana menghidap Schizophrenia.

“Memang pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie kes tetapi kes ini unik apabila pihak pembelaan mengguna pakai Seksyen 84 iaitu berdasarkan saksi dan doktor pakar, mahkamah berpuas hati bahawa tertuduh tidak waras ketika kejadian.

“Sehubungan itu, tertuduh dibebaskan dan diarahkan dihantar untuk pengawasan di Hospital Permai, Tampoi sehingga mendapat pengampunan Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Tertuduh didakwa membunuh pegawai bank, Ho Chin Tau ditingkat satu, Bangunan HSBC, Jalan Molek 1/10, Taman Molek, jam 3.40 petang, pada 17 April tahun lalu dan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan yang dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Norafiah Sain, manakala tertuduh diwakili peguam, Iskandar Shah Ibrahim.

(BHONLINE)

Berita Terkini

    Tiada ulasan

    Dikuasakan oleh Blogger.