Maut Dipanah Petir - Media Shah Alam

Header Ads

Maut Dipanah Petir

GUA MUSANG: Seorang peniaga yang sedang mengupas kulit buah kelubi di sebuah bangsal di hadapan rumahnya di Kampung Tanah Puteh di sini maut disambar petir, Rabu.

Mohd Syamsudin Muda, 52, maut di tempat kejadian pada kira-kira 7 malam akibat kecederaan di bahagian perut dan paha.

Katanya seekor beruk jantan yang ditambat berhampiran bangsal berkenaan turut mati.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Rajab Ahad Ismail berkata mangsa seorang diri di bangsal itu manakala isteri, Norazila Mohamed Nor, 39, dan lapan anaknya berada di dalam rumah.

Rumah itu kira-kira 20 meter dari bangsal tersebut yang menjadi tempat Mohd Syamsudin berehat bersama keluarga setiap hari sambil mengupas kulit buah kelubi untuk dijual, katanya kepada pemberita di sini pada Khamis.

Rajab Ahad berkata mangsa mengupas buah kelubi itu di bahagian luar bangsal dan kemungkinan selepas dipanah petir mangsa naik ke atas bangsalnya, berbaring dan berselimut.

"Anaknya yang kemudian datang menjengah bapanya, melihat mangsa berselimut dan menyangka bapanya sedang tidur," katanya.

Mangsa disedari telah meninggal dunia oleh isterinya yang pergi ke bangsal itu untuk melihat suaminya semula.

Beliau berkata mayat Mohd Syamsudin dihantar ke Hospital Gua Musang di sini sebelum dituntut keluarganya untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tanah Puteh pagi Khamis. - BERNAMA

Berita Terkini

    Tiada ulasan

    Dikuasakan oleh Blogger.