Milik Pelbagai Senjata Tiruan Kontraktor Ditahan - Media Shah Alam

Header Ads

Milik Pelbagai Senjata Tiruan Kontraktor Ditahan

KOTA KINABALU: Seorang kontraktor ditahan kerana memiliki pelbagai jenis senjata tiruan tanpa kebenaran di sebuah kondominium di Jalan Taman Nelly, Nountun Inanam, di sini, petang semalam.

Lelaki berusia 37 tahun itu ditahan sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu jam 7.10 malam tadi mengikut Seksyen 36 (1) Akta Senjata 1960 kerana memiliki senjata tiruan tanpa kebenaran yang sah di sisi undang-undang.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten M Chandra, berkata pemeriksaan di rumah suspek menemui beberapa senjata tiruan dan barangan lain yang menyalahi undang-undang.

“Senjata tiruan yang ditemui ialah sepucuk pistol tiruan tertulis perkataan Glock 17 warna hitam berserta satu kelopak peluru, satu laras senjata tiruan tertulis HK (Heckler & Koch) warna hitam dan satu laras senjata tiruan tertulis CA G36K berserta dua kelopak peluru.

“Polis turut menemui sehelai baju kalis peluru celoreng hijau ala tentera, sehelai seluar panjang ala tentera, sehelai baju lengan panjang ala tentera warna hijau, satu tali pinggang ala tentera dan satu bekas berisi 480 biji palet plastik warna putih,” katanya di sini, hari ini.

Chandra berkata, senjata tiruan yang menyerupai senjata sebenar adalah berbahaya terutama jika disalah guna untuk melakukan jenayah.

“Senjata tiruan yang menggunakan palet sebagai peluru juga bahaya dan boleh mendatangkan kecederaan kepada seseorang jika disalah guna.

“Individu yang memiliki apa-apa senjata tiruan tanpa kebenaran yang sah adalah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960. Jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih setahun atau denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya,” katanya.

(BHONLINE)

Berita Terkini

    Tiada ulasan

    Dikuasakan oleh Blogger.