Rugi RM120,000 Gara-Gara Nombor Ekor - Media Shah Alam

Header Ads

Rugi RM120,000 Gara-Gara Nombor Ekor

Admin:Mohamad/Email:mediashahalam@gmail.com

BATU PAHAT 8 Nov. - Seorang lelaki warga emas kerugian RM120,000 akibat ditipu dua lelaki gara-gara sekeping cek kemenangan agensi nombor ramalan yang kononnya bernilai ratusan ribu ringgit, Selasa lalu.

Dalam kejadian pukul 11 pagi itu, lelaki berusia 70 tahun itu yang berasal dari bandar ini pada mulanya disapa seorang lelaki dipercayai warga Indonesia selepas selesai berurusan di Bangunan Tabung Haji di Jalan Timah Sari.

Suspek tersebut kononnya memenangi hadiah kemenangan berjumlah ratusan ribu ringgit, namun tidak boleh menuntut kerana tidak mempunyai dokumen diri yang sah.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa berkata, semasa perbincangan tersebut suspek kedua dipercayai warga tempatan menghampiri mangsa dan telah meyakinkan mangsa serta suspek pertama sendiri untuk membantu menuntut hadiah.

"Mangsa dan suspek kedua dijanjikan sehingga sepuluh peratus daripada hadiah kemenangan itu tetapi mereka perlu membayar wang pendahuluan sebagai jaminan kerana kononnya mangsa yang akan menuntut hadiah itu.

"Mangsa bersetuju dan mereka bertiga ke Bank OCBC untuk mengeluarkan RM120,000 untuk diserahkan kepada suspek, tetapi tidak lama kemudian kedua-dua suspek itu hilang sekelip mata ketika mangsa diminta membuat salinan kad pengenalan," katanya di sini hari ini.

Abdul Wahib turut mengesahkan kejadian itu tidak melibatkan unsur pukau tetapi kes penipuan melalui percakapan dan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.- UTUSAN ONLINE


Berita Terkini

    Tiada ulasan

    Dikuasakan oleh Blogger.