Seramai 5,778 Penjawat Awam Dibuang Kerja Setakat Ini - Media Shah Alam

Header Ads

Seramai 5,778 Penjawat Awam Dibuang Kerja Setakat Ini

Admin:Mohamad/Email:mediashahalam@gmail.com

KUALA LUMPUR: Seramai 5,778 orang atau 18.5 peratus daripada 31,230 penjawat awam yang dikenakan tindakan tatatertib bagi tempoh 2010 hingga Julai lalu, dibuang kerja.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata bagi tempoh sama 152 penjawat awam diturunkan pangkat dan tidak akan dipertimbangkan kenaikan pangkat bagi tempoh 48 bulan.

Di samping itu, katanya seramai 1,168 diturunkan gaji dan tidak akan dipertimbangkan kenaikan pangkat bagi tempoh 36 bulan, manakala 2,369 ditangguhkan pergerakan gaji dan tidak akan dipertimbangkan kenaikan pangkat bagi tempoh 30 bulan.

“Seramai 4,370 penjawat awam dilucutkan hak emolumen dan tidak akan dipertimbangkan kenaikan pangkat bagi tempoh 24 bulan, manakala 4,295 orang dikenakan denda maksimum tujuh hari emolumen dan tidak akan dipertimbangkan kenaikan pangkat bagi tempoh 18 bulan.

“Seramai 13,104 penjawat awam diberi amaran dan tidak akan dipertimbangkan kenaikan pangkat bagi tempoh 12 bulan,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Er Teck Hwa (DAP-Bakri) meminta Perdana Menteri menyatakan bilangan kakitangan awam yang melanggar tatatertib diberikan amaran, digantung gaji dan pangkat, dilucutkan jawatan dan pencen atau ganjaran mengikut pecahan jenis kesalahan, gred jawatan dan kementerian dari tahun 2010 hingga 2016.

Teks jawapan Azalina dibacakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan.
-Berita Harian

Berita Terkini

    Tiada ulasan

    Dikuasakan oleh Blogger.