Taliban Serang Konsulat Jerman di Mazar-I-Sharif - Media Shah Alam

Header Ads

Taliban Serang Konsulat Jerman di Mazar-I-Sharif

Admin:Mohamad/Email:mediashahalam@gmail.com

MAZAR-i-SHARIF: Sekurang-kurangnya dua terbunuh manakala lebih 100 cedera apabila sebuah bom kereta diletupkan di Konsulat Jerman di Bandar Mazar-i-Sharif, utara Afghanistan, awal hari ini.

Serangan itu disifatkan Taliban sebagai ‘serangan balas dendam’ susulan serangan udara Amerika Syarikat (AS) di Wilayah Kunduz, awal bulan ini yang menyebabkan lebih 32 orang awam maut.

Letupan besar disusuli tembakan senjata kedengaran hampir sebahagian bandar, menyebabkan tingkap kediaman dan kedai berhampiran berkecai dengan penduduk lari menyelamatkan diri.

“Pengebom nekad merempuh tembok pejabat konsulat dengan kereta yang sarat bahan letupan,” kata Ketua Polis tempatan, Sayed Kamal Sadat.

Pegawai Jerman di Kabul enggan memberi komen apabila dihubungi AFP.

Sumber diplomat di Berlin berkata, Menteri Luar Jerman, Frank-Walter Steinmeier sudah memanggil mesyuarat tergempar menangani krisis di pejabat kementeriannya.

Pasukan Khas Afghanistan mengepung kawasan konsulat yang sebelum ini dikenali sebagai Mazar Hotel.

Helikopter kedengaran terbang rendah di sekitar bangunan diplomat berkenaan dengan siren ambulans bertali-arus kedengaran bergegas ke tempat kejadian, demikian menurut pemberita AFP yang merapati kawasan berkenaan.

Sekurang-kurangnya dua mayat dan lebih 100 mangsa yang cedera, termasuk kira-kira 10 kanak-kanak sudah dibawa keluar untuk dirawat di hospital, demikian menurut Doktor Noor Mohammad Fayez.

“Kebanyakan mereka yang cedera dalam keadaan kritikal,” katanya. – AFP

-Berita Harian

Berita Terkini

    Tiada ulasan

    Dikuasakan oleh Blogger.