WASPADA BILA ULAS ISU POLITIK – SYED ALI - Media Shah Alam

Header Ads

WASPADA BILA ULAS ISU POLITIK – SYED ALI

KUALA LUMPUR: Pemimpin UMNO perlu lebih berhati-hati semasa memberi ulasan berhubung isu politik kerana dikhuatiri jawapannya akan memberi kesan buruk kepada parti.

Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee mengingatkan, ada pemimpin yang seronok berhujah menyerang pihak lawan tanpa berhati-hati dan tanpa disedari kesannya akan terpalit kepada parti.

“Ia akan memberi ruang kepada pihak lawan untuk menyerang balas. Situasi sebegini dikhuatiri hanya menambah kebencian sesetengah pihak terhadap UMNO dan jika berpanjangan boleh mempengaruhi sikap pengundi pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Pemimpin UMNO perlu mencari kaedah yang lebih berkesan untuk meyakinkan rakyat betapa pemimpin parti sentiasa komited terhadap permasalahan mereka.

“Sebagai contoh, UMNO perlu memperhebatkan gerakan perang saraf termasuk menerusi laman-laman sosial bermula di peringkat bahagian untuk memperbetulkan persepsi dan tohmohan pembangkang,” katanya dalam catatan terbaharu di laman blog umnobahagiancheras.blogspot.my miliknya.

Tegasnya, kekuatan lebih 190 bahagian UMNO dalam jentera siber mampu melenyapkan kemampuan serangan pembangkang.

Menurutnya, dengan jentera melebihi 190 bahagian tentera siber UMNO dilihat lebih daripada berkemampuan untuk mempertahankan kedudukan Presiden dan Timbalan Presiden parti daripada menjadi serangan pihak musuh.

“Bagaimanapun, kita kena jujur untuk berdepan dengan akar umbi, tidak perlu kita berbicara begitu lunak sekali sekadar untuk mengangkat diri supaya dilihat popular,” tegasnya.

Menurutnya yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, apa juga penjelasan atau kesimpulan bersabit sesuatu isu yang diutarakan oleh pemimpin UMNO perlu dilihat konsisten, munasabah dan boleh diterima secara baik oleh rakyat.

“Perkara ini perlu diberikan perhatian kerana pihak berkepentingan khususnya blok pembangkang sudah semestinya akan memutarbelitkan penjelasan tersebut bagi kepentingan politik mereka.

“Kadangkala sesetengah isu atau penjelasan berhubung sesuatu perkara dilihat sukar diterima umum dan akhirnya menjadi bahan persendaan kerana jawapannya tidak rasional dan bercanggah dengan persoalan asal.

“Rakyat kini lebih kritis pemikiran mereka, bersifat terbuka dan mendapat limpahan maklumat secara pantas dari segenap sudut tanpa kawalan, oleh sebab itu apa juga persoalan atau penjelasannya perlu relevan,” ujarnya.

Menurut Syed Ali, kumpulan anti-UMNO akan mempergunakan kesilapan untuk disebarkan menerusi laman-laman sosial supaya timbul persepsi dan tanggapan negatif rakyat terhadap pihak kerajaan. “Kadangkala sesuatu perkara yang diperkatakan tidak jelas, keliru dan paling sedih jika rakyat secara total menolak penjelasan tersebut dengan melemparkan pelbagai tuduhan tidak berasas kepada parti dan pemimpin.

“Keadaan akan menjadi lebih sukar apabila persoalan sedemikian juga akan dibangkitkan di peringkat bahagian dan cawangan parti.

“Bagaimanapun, atas nama tanggungjawab kepada UMNO, kepimpinan diperingkat bahagian dan cawangan berusaha untuk menyakinkan golongan akar umbi supaya mempercayai dan yakin terhadap perjuangan parti,” ujarnya.

-Astro Awani

Berita Terkini

    Tiada ulasan

    Dikuasakan oleh Blogger.