Ahmad dan Muhammad Tetap Menyimpan Hasrat Bertemu Raja Salman - Media Shah Alam

Header Ads

Ahmad dan Muhammad Tetap Menyimpan Hasrat Bertemu Raja Salman

SHAH ALAM 28 Feb. – Pasangan kembar siam yang berjaya dipisahkan menerusi pembedahan dengan bantuan kerajaan Arab Saudi, 15 tahun lalu, Ahmad dan Muhammad Rosli tetap menyimpan hasrat untuk bertemu Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud walaupun difahamkan mungkin sukar berbuat demikian.

Bagi Ahmad dan Muhammad, 19, walaupun impian tersebut masih belum terlaksana, namun kedua-duanya tetap gembira kerana menerima kunjungan delegasi kerajaan Arab Saudi ke tempat mereka sedang melanjutkan pengajian, iaitu Management & Science University (MSU), Seksyen 13 di sini, hari ini.

Hasrat tersebut dinyatakan kepada delegasi Arab Saudi itu dan Ahmad serta Muhammad berharap ada keajaiban yang dapat menemukan mereka dengan Raja Salman sempena lawatannya ke Malaysia.

“Tanpa bantuan baginda dan kerajaan Arab Saudi, mustahil bagi kami untuk menjalani kehidupan seperti pelajar-pelajar normal yang lain pada hari ini.

“Hanya Allah yang dapat membalas budi pihak-pihak yang memberikan peluang dan harapan kepada kami untuk meneruskan kehidupan hingga berjaya seperti insan lain,” katanya di sini, hari ini.

Ketika ini, Ahmad dan Muhammad sedang mengikuti pengajian peringkat diploma dalam bidang reka bentuk grafik dan teknologi maklumat di MSU.

Kedua-dua beradik kembar siam itu berjaya dipisahkan pada April 1998 hasil kemurahan hati pemerintah Arab Saudi yang membiayai kos pembedahan berjumlah RM1.7 juta. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.