Gara-Gara Nombor Ekor Lelaki Ditetak - Media Shah Alam

Header Ads

Gara-Gara Nombor Ekor Lelaki Ditetak

KOTA BHARU - Seorang pesara polis cedera parah ditetak di kepala gara-gara didakwa berkomplot dengan bomoh membakar kertas nombor ekor yang menang di tempat kedua.

Mangsa berusia 61 tahun diserang sekumpulan empat lelaki di pagar rumahnya ketika keluar menunaikan solat Subuh berjemaah di masjid berhampiran jam 6 pagi.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Dr Ab Rahman Ismail berkata, kejadian di Kampung Serendah Chetok, Pasir Mas, pada 20 Januari lalu, bagaimanapun laporan polis hanya dibuat oleh mangsa baru-baru ini sebaik sahaja tahap kesihatannya stabil.

Katanya, kejadian berlaku selepas seorang daripada suspek yang dikenali mangsa mendakwa dia berkomplot dengan bomoh dan bertindak membakar kertas nombor ekor milik suspek yang menang di tempat kedua.

“Berdasarkan keterangan mangsa, pada 1999 lalu, mangsa yang ketika itu bertugas di negara jiran pernah mengajak suspek berjumpa seorang bomoh dari Indonesia untuk mendapatkan ramalan nombor ekor dengan bayaran RM80,000.

“Suspek kemudian membeli nombor seperti yang diramalkan bomoh terbabit serta berjaya menang hadiah di tempat kedua,” katanya.

Beliau berkata, belum sempat suspek menebus hadiah, tiket loteri yang berada bersama suspek secara tiba-tiba hangus terbakar.

“Suspek yang terkejut dengan kejadian itu menuduh mangsa melakukan perkara itu (membakar tiket loteri) dengan bantuan bomoh yang pernah mereka jumpa.

“Suspek menyimpan dendam sehingga ke saat ini dan akhirnya menetak mangsa hingga cedera parah di kepala,” katanya.

Menurutnya, dua lelaki ditahan dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kampung Panglima Bayu, Tanah Merah, pada 21 Februari lalu.

“Suspek utama berusia 50 dikenakan reman seminggu sehingga 27 Februari ini, manakala seroang lagi suspek 33 tahun ditahan reman empat hari hingga 24 Februari ini. Mangsa yang cedera parah pula dirawat di hospital dan mendapat 37 jahitan di kepala,” katanya.

Ab Rahman berkata, dalam tempoh Januari sehingga sekarang, sejumlah 37 kes jenayah membabitkan tetak mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan (menyebabkan cedera) dan 326 Kanun Keseksaan (menyebabkan kecederaan parah).

Katanya, jumlah itu berkurang sebanyak 17 peratus berbanding 45 kes yang dicatatkan di seluruh negeri ini dalam tempoh sama tahun lalu.

“Selain perbalahan hal-hal jenayah dadah, hutang dan sebagainya, kes tetak juga berpunca dari hal remeh dan sikap baran," katanya.

Ab Rahman berkata, pihaknya memandang serius hal itu dan akan mengambil tindakan tegas dengan mengeluarkan arahan supaya pasukan polis termasuk anggota rondaan untuk melakukan pemeriksaan rapi ketika sekatan jalan raya dan sebagainya.Sinar Harian

Berita Terkini

    Tiada ulasan

    Dikuasakan oleh Blogger.