Imigresen Sarawak Tahan 40 Warga Asing - Media Shah Alam

Header Ads

Imigresen Sarawak Tahan 40 Warga Asing

Admin:Mohamad/Email:mediashahalam@gmail.com

KUCHING, Feb 23: Imigresen Sarawak menahan 40 warga asing yang dikesan memasuki negara ini dengan memanipulasi pas masuk penerbangan minggu lepas.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, kesemua mereka dikesan menaiki penerbangan antarabangsa namun apabila tiba di lapangan terbang di negeri ini, mereka menggunakan pas masuk penerbangan domestik.

“Saya tidak mahu sebut MO (modus operandi) secara terperinci kerana masih dalam siasatan. Apa yang boleh saya katakan ialah sindiket membeli dua pas masuk iaitu satu untuk perjalanan antarabangsa dan satu untuk perjalanan domestik.

“Mereka datang cara antarabangsa tetapi selepas sampai diberikan pas masuk penerbangan domestik. Bila sebut domestik, tentunya pemeriksaan pasport tidak dilakukan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas mengenai negara asal warga asing terbabit mahupun lapangan terbang mereka ditangkap.

Mustafar berkata, dengan menggunakan pas masuk penerbangan domestik, warga asing terbabit bukan sahaja tidak perlu melalui pemeriksaan imigresen tetapi juga boleh tinggal di negara ini selama mana yang mereka mahukan.

“Misalnya 40 orang ini, kalau datang sebagai pelancong…pas lawatan sosial ialah 30 hari, tetapi apabila mereka gunakan cara lain maka mereka akan duduk lebih lama lagi,” katanya.

Mustafar berkata, kesemua 40 warga asing berkenaan ditahan di depoh tahanan imigresen dan siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti dalang atau sindiket kegiatan.

Beliau juga berkata pihaknya akan mengumumkan perkembangan kes apabila perlu. – Bernama

Berita Terkini

    Tiada ulasan

    Dikuasakan oleh Blogger.