Jalan Mendap Selepas Banjir Belum Dibaiki - Media Shah Alam

Header Ads

Jalan Mendap Selepas Banjir Belum Dibaiki

Admin:Mohamad/Email:mediashahalam@gmail.com

BUKIT TUKU - Penduduk memohon pihak berkenaan membaiki jalan mendap di Jalan Bukit Tuku ke Batu Hampar.

Pentadbir Mukim, Jusoh Isa berkata, jalan ini rosak akibat saliran mendap selepas banjir awal tahun ini.

Menurutnya, kejadian sama pernah berlaku ketika banjir besar 2014, namun dibaiki segera pihak berkenaan.


“Air banjir menyebabkan tanah di saliran ini terhakis teruk dan membentuk lubang sedalam 0.5 meter.

“Jika pengguna jalan raya tidak sedar, mereka boleh terlibat dalam kemalangan dan terjatuh ke dalam lubang atau lebih teruk, ke bahu jalan dengan kedalaman lebih lima meter,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Bukit Tuku, Ibrahim Mahmood berkata, laluan ini menjadi penghubung kepada enam sekolah dekat sini.

Menurutnya, pelajar dan guru menggunakan laluan berkenaan untuk ke Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Perah, SK Bukit Jarum, SK Banggol Perai, SK Baroh Pial, SK Alor Pasir, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Baroh Pial dan SMK Alor Pasir.

“Disebabkan tanah mendap di tengah-tengah jalan, ia boleh membahayakan keselamatan penduduk terutama pelajar sekolah.

“Malah ia tidak dilengkapi lampu jalan menyebabkan kawasan ini gelap dan mengundang bahaya,” katanya.

Walaupun belum ada kes kemalangan jalan raya di sini, namun katanya, penduduk berharap pihak berkenaan membaiki laluan berkenaan dan tidak menunggu berlakunya musibah.
-Sinar Harian

Berita Terkini

    Tiada ulasan

    Dikuasakan oleh Blogger.