Jong-Nam: Polis, AELB periksa sisa radioaktif - Media Shah Alam

Header Ads

Jong-Nam: Polis, AELB periksa sisa radioaktif

SEPANG, 24 Feb: Polis akan bekerjasama dengan Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) untuk memeriksa semua lokasi yang pernah dilalui suspek dalam kes pembunuhan Kim Jong-nam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), 13 Feb lepas.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata kerjasama itu dilakukan kerana kemungkinan terdapat sisa radioaktif hasil penggunaan bahan kimia ‘Ethyl S-2-Diisopropylaminoethyl Methylphonothiolate atau Agen Saraf VX disenaraikan sebagai senjata kimia.

Sebelum ini, analisis awal oleh Jabatan Kimia Malaysia mendapati bahan kimia Agen Saraf VX dikaitkan dengan pembunuhan Jong-nam, abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un.

“Kami akan mendapat pakar forensik tenaga atom memeriksa lokasi dan mengesan jika sisa radioaktif di sana,” katanya kepada pemberita di Lapang Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berlepas untuk menunaikan umrah hari ini.

Ia merupakan kali kedua pihak media terserempak dengan Khalid di KLIA di mana sebelum itu kira-kira 150 petugas media tempatan dan asing menyerbu sidang media Jabatan Imigresen, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dan Airlines Operating Committee mengenai usaha mengurangkan masa menunggu di lapangan terbang dengan harapan mendapat perkembangan mengenai kes pembunuhan Jong-nam.

Pada 13 Feb lepas, Jong-nam berada di klia2 untuk penerbangan ke Macau apabila dua wanita didakwa menyapu muka mangsa dengan tangan mereka yang dipercayai telah disembur bahan beracun

Jong-nam, yang memasuki negara ini dengan menggunakan pasport tertera nama Kim Chol, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.

Susulan kes pembunuhan Jong-nam itu, polis Malaysia menahan empat suspek – seorang wanita menggunakan pasport Vietnam, seorang wanita warga Indonesia, seorang lelaki rakyat Malaysia dan seorang lelaki warga Korea Utara.

Lelaki warga Malaysia itu dibebaskan dengan jaminan polis.

— Bernama

Berita Terkini

    Tiada ulasan

    Dikuasakan oleh Blogger.