Kapal Nautical Aliya Selamat Pulang - Media Shah Alam

Header Ads

Kapal Nautical Aliya Selamat Pulang

PELABUHAN KLANG, 23 Feb: Kapal Nautical Aliya yang membawa misi kemanusiaan ‘Food Flotilla For Myanmar’ tiba di Boustead Cruise Centre, Pelabuhan Klang di sini pada kira-kira 10 pagi ini.

Ketibaan kapal itu disambut oleh Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein serta anggota keluarga 183 sukarelawan misi berkenaan yang menunggu di situ sejak pukul 8 pagi.

Kapal berkenaan berlepas keluar dari Pelabuhan Klang pada 3 Feb lepas membawa 2,300 tan makanan dan barang keperluan untuk etnik Rohingya di Myanmar dan pelarian Rohingya di Bangladesh.

Ia berlabuh di pelabuhan Yangon pada 9 Feb dan menurunkan sebahagian daripada barang bantuan itu dan kemudiannya meneruskan perjalanan ke pelabuhan Chittagong pada 14 Feb untuk menurunkan keseluruhan barang bantuan itu di sana.

Bantuan di Bangladesh itu adalah untuk diagihkan di tiga kem pelarian di Kutupalong, Cox’s Bazar dan Teknaf dengan bantuan Persatuan Bulan Sabit Merah Bangladesh dan Pertubuhan Antarabangsa bagi Migran (IOM).

Misi anjuran Kelab Putra 1Malaysia dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia itu merangkumi wakil pertubuhan bukan kerajaan dari Malaysia dan negara luar, pasukan perubatan, tenaga pengajar dan wartawan.

— Bernama

Berita Terkini

    Tiada ulasan

    Dikuasakan oleh Blogger.