Pasar Wakaf Che Yeh Tiada Seri - Media Shah Alam

Header Ads

Pasar Wakaf Che Yeh Tiada Seri

Admin:Mohamad/Email:mediashahalam@gmail.com

KOTA BHARU - Tidak lagi menjadi tumpuan sebagaimana sebelum ini, Pasar Wakaf Che Yeh kini bagaikan hilang seri dan kurang dikunjungi orang ramai.

Tinjauan Sinar Harian di kawasan tapak Kompleks Pasar Awam Bersepadu Wakaf Che Yeh itu semalam mendapati, banyak lot-lot kedai tidak beroperasi selain ramai peniaga berbanding pembeli.

Rata-rata peniaga mengharapkan penyelesaian daripada pihak bertanggungjawab untuk mengatasi perkara itu sekali gus membela nasib mereka.


Peniaga kain, Che Bedah Che Mat, 84, berkata, situasi itu berlarutan sejak beberapa tahun lalu, namun peniaga hanya mampu bertahan kerana itu sahaja pilihan yang mereka ada.

“Orang kurang datang ke sini sejak adanya Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), sebabnya sudah ada di sana. Kalau dulu, menjadi tumpuan ramai kerana lori-lori pemborong ikan dan sayur turut menurunkan barangan mereka di pasar itu seawal pagi.

“Dulu kami tak ada masalah dapatkan pelanggan kerana ia menjadi tumpuan, tapi bila tempat mengumpul barang dipindahkan ke RTC, orang mula beralih ke sana dan pengunjung pasar ini juga semakin hari semakin berkurangan,” katanya kepada media di sini, semalam.

Che Bedah yang merupakan salah seorang peniaga asal di Jalan Hamzah dipindahkan ke Wakaf Che Yeh lebih 15 tahun lalu berkata, kini pasar berkenaan hanya beroperasi separuh hari apabila peniaga hanya menjalankan operasi sehingga tengah hari berikutan kekurangan pengunjung.

“Hanya hari Jumaat orang agak ramai berikutan pasar tani di bahagian luar kompleks, kalau hari lain orang lebih suka ke RTC Tunjong kerana banyak aktiviti sampingan,” katanya.

Seorang lagi peniaga, Naliah Sulaiman, 49, turut mengakui sambutan terhadap aktiviti perniagaan di pasar berkenaan semakin suram dan tidak menolak kemungkinan disebabkan masalah ekonomi semasa.

“Sudah 16 tahun kak berniaga di sini, bermula di pasar lama lagi. Urusniaga memang perlahan, orang ramai makin berhati-hati berbelanja.

“Dulu mereka beli dalam kuantiti yang banyak, 10 kilogram misalnya, tapi kini semuanya seolah-olah cuba mengurangkan kos, beli sebahagian sahaja,” katanya.

Berita Terkini

    Tiada ulasan

    Dikuasakan oleh Blogger.