Pemuda Sokong Keputusan Hubungan Malaysia Korea Utara - Media Shah Alam

Header Ads

Pemuda Sokong Keputusan Hubungan Malaysia Korea Utara

Admin:Mohamad/Email:mediashahalam@gmail.com

TANJONG KARANG: Pemuda Barisan Nasional (BN) menyokong keputusan yang bakal dibuat oleh kerajaan Malaysia mengenai hubungan diplomatiknya dengan Korea Utara.

Ketua Pemuda BN, Khairy Jamaluddin, berkata tindakan itu wajar berikutan reaksi serta sikap pemimpin Korea Utara, yang tidak menghormati undang-undang Malaysia dalam kes pembunuhan abang pemimpin negara terbabit, Kim Jong-nam.

“Saya rasa itu satu langkah yang tepat (kaji semula hubungan) dan saya yakin serta percaya, minggu depan dalam mesyuarat Kabinet kita akan bincang perkara ini.

“Apa yang kita bantah ialah reaksi mereka ke atas siasatan kita dan adakah rakyat mereka terbabit?

“Selain itu, bagaimana bahan terlarang yang ditakrifkan bahan menyebabkan kemusnahan besar boleh masuk ke Malaysia?” katanya.

Beliau yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Himpunan Anak Muda Tanjong Karang, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar.

Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kedudukan hubungan diplomatik negara dengan Korea Utara akan ditentukan Kabinet, selepas mendapat laporan penilaian daripada Kementerian Luar.

Ahmad Zahid Hamidi menggesa Korea Utara menghormati kedaulatan undang-undang Malaysia dan tidak mempersoalkan kredibiliti siasatan yang dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Malah, Pakar Geostrategis, Azmi Hassan, berkata Malaysia perlu bertindak mempertahankan maruah dan kedaulatan negara, meskipun berdepan tekanan Korea Utara.

Azmi Hassan, berkata kepentingan menjaga hubungan diplomatik dengan Pyongyang, bukan menjadi keutamaan lagi jika maruah negara menjadi pertaruhan.

Pada 18 Februari lalu, Duta Besar Korea Utara ke Malaysia, Kang Chol, mendakwa kerajaan Malaysia bekerjasama dengan musuh Pyongyang dalam kes pembunuhan Kim Jong-nam.

Mereka juga enggan menerima keputusan bedah siasat mayat abang pemimpin tertinggi negara itu, Kim Jong-un.

Myanmar pernah memutuskan hubungan diplomatik untuk tempoh sementara dengan Korea Utara berikutan kes pembunuhan Presiden kelima republik itu, Chun Doo-hwan di Rangoon (kini Yangon) pada 9 Oktober 1983.

(BHONLINE)

Berita Terkini

    Tiada ulasan

    Dikuasakan oleh Blogger.