Permis Proses Telur Masin Ditutup - Media Shah Alam

Header Ads

Permis Proses Telur Masin Ditutup

Parit Buntar: Dua premis memproses telur masin di Kuala Kurau dan Tanjung Piandang, di sini, diarahkan tutup oleh Jabatan Kesihatan Negeri Perak, hari ini, kerana tahap kebersihan tidak memuaskan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu negeri Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, pemeriksaan yang dijalankan pihaknya pada jam 10 pagi hingga 1 tengah hari tadi, mendapati kedua-dua premis tidak mengikuti arahan dan piawaian ditetapkan.

Katanya, pihaknya sudah mengambil tindakan memberi notis arahan tutup selama 14 hari bagi memastikan premis terbabit dibersihkan.

“Pemeriksaan mendapati tahap kebersihan tidak menepati piawaian ditetapkan.

“Di premis pertama di Kuala Kurau, kami mengenal pasti telur yang digunakan tidak dicuci sebelum diproses serta tempat penyimpanan tanah merah yang digunakan terdedah kepada serangga dan tidak ditutup dengan sempurna.

“Di kilang kedua, kami dapati luaran premis begitu bersih dan canggih namun pemeriksaan di bahagian dalam mendapati kebersihan tidak menepati piawaian dan terdapat beberapa bahagian berulat,” katanya selepas mengadakan lawatan mengejut di premis berkenaan hari ini.

Susulan lawatan itu, pihaknya mengeluarkan notis arahan tutup selama 14 hari mengikut Akta Makanan 1983 dan Peraturan Kebersihan Makanan 2009 bagi memberi peluang kepada pemilik premis melakukan tindakan lanjut.

“Selepas tempoh 14 hari, kami akan mengadakan lawatan susulan bagi memeriksa semula tahap kebersihan dan piawaian yang ditetapkan.

“Jika pemeriksaan mendapati tiada perubahan dan tidak memuaskan, kita akan melanjutkan tempoh penutupan,” katanya.

(myMetro)

Berita Terkini

    Tiada ulasan

    Dikuasakan oleh Blogger.