Siti Fairuz Tetap Jadi Sebutan - Media Shah Alam

Header Ads

Siti Fairuz Tetap Jadi Sebutan

BIARPUN hanya sempat tampil dengan dua buah album, namun nama penyanyi popular era 1980-an, Siti Fairuz tetap menjadi sebutan sehingga kini dek kelunakan suaranya mengalunkan lagu berhantu, Bila Ku Rindu Ku Sebut Namamu.

Lagu ciptaan komposer terkenal, Datuk Ahmad Nawab itu malar segar sehingga kini.

“Jujurnya, saya sendiri tidak menyangka penangan lagu ini begitu besar dalam kerjaya seni malah kehidupan saya sehingga ke hari ini.


“Itu lagu ‘cari makan’ saya dan menjadi permintaan peminat walau di mana pun saya membuat persembahan.

“Mendengar dan menyanyikan balik lagu tersebut hari ini membuatkan saya rindu kenangan ketika di awal kemunculan sebagai penyanyi dan saat meniti zaman kegemilangan dulu,” luahnya.

Mengimbas kembali bagaimana dia bergelar anak seni, kata Siti Fairuz, dia mula aktif menyanyi ketika zaman persekolahan apabila sering mendapat peluang menghiburkan penonton di negeri kelahirannya, Kuantan, Pahang.

“Apabila sering tampil membuat persembahan di Padang Astaka itu, saya terpilih menyertai sebuah program TV anjuran RTM yang mengumpulkan bakat baru dalam bidang nyanyian.

“Tanpa disangka, Ahmad Nawab yang turut terlibat dalam program itu tertarik dengan bakat saya dan terus memberikan tawaran merakamkan album,” katanya yang juga pernah menyertai pertandingan Bintang RTM pada 1985.

Semestinya peluang itu disambut baik penyanyi yang mempunyai campuran darah Arab ini.

“Album pertama saya, Wajah Cinta (1985) berjaya memperkenalkan saya dalam industri, malah lagu Usah Bertanya Lagi menjadi siulan peminat, sekali gus memperkenalkan nama saya di persada seni.

“Kejayaan itu berterusan menerusi album kedua yang memuatkan lagu Bila Ku Rindu, Ku Sebut Namamu yang mengangkat kerjaya seni saya ke ruang lebih besar apabila turut mendapat pencalonan di majlis anugerah selain bertanding di Juara Lagu,” imbasnya.

Kad raya peminat

Bagaimanapun beberapa tahun selepas itu, Siti Fairuz mengambil keputusan mengundur diri dalam bidang seni apabila bertemu jodoh dan mahu memberi sepenuh perhatian kepada rumah tangga.

“Ketika itu pihak syarikat rakaman saya, BMG Music dalam perancangan menerbitkan album ketiga yang sekali lagi bakal menggunakan khidmat Ahmad Nawab sebagai penerbit.

“Jujurnya, amat sukar untuk saya membuat keputusan kerana kerjaya seni sedang berada di puncak, manakala perkahwinan pula baru dibina.

“Namun akhirnya saya tekad mengundur diri kerana tidak mahu menyusahkan orang di sekeliling Ketika itu komitmen saya telah terbagi,” jelasnya yang kini kembali aktif menyanyi.

Meski era itu hampir tiga dekad berlalu, kenangan yang dilaluinya bersama peminat sangat berbekas di hatinya.

“Cara peminat menghargai artis ketika itu tak sama dengan sekarang. Mereka menyokong dengan pembelian album dan hadir ke setiap persembahan yang melibatkan artis kesayangan.

“Dulu bukan senang peminat nak jumpa artis, ada yang menangis kerana terharu dan terlalu gembira.

“Selalunya situasi seperti itu berlaku ketika saya membuat persembahan di luar Kuala Lumpur termasuk Sabah dan Sarawak kerana sebelum ini mereka hanya nampak di kaca TV dan surat khabar sahaja,” katanya.

Lebih membanggakan, dia banyak menerima surat yang menyatakan penghargaan dan sokongan terhadap kerjaya seninya.

“Dulu memang tak menang tangan nak baca surat peminat, apatah lagi membalasnya terutama apabila tiba hari raya.

“Bukan kerana tidak menghargai, tetapi jadual kerja ketika itu sangat padat, malah pernah suatu ketika, pada sebelah pagi saya berada Kota Bharu manakala petang dan malamnya pula mengadakan persembahan di negeri lain,” katanya lagi.

Biarpun populariti mengiringi perjalanan seninya, Siti Fairuz mengakui tidak mudah melalui zaman itu kerana kebanyakan penyanyi yang ada semuanya berbakat.

“Dulu semua orang bagus, jadi kalau kita main-main dan tidak serius kita akan malu dengan diri sendiri.

“Jadi baik saya mahupun artis-artis lain ketika itu sentiasa berusaha menampilkan album dan persembahan terbaik untuk diberikan kepada peminat dan industri,” ujarnya ketika ditemui di Majlis Perasmian KL Karnival 2017.

Berita Terkini

    Tiada ulasan

    Dikuasakan oleh Blogger.