SL1M ATASI GRADUAN SUSAH DAPAT KERJA - Media Shah Alam

Header Ads

SL1M ATASI GRADUAN SUSAH DAPAT KERJA


KUALA LUMPUR: Tiada pengalaman kerja antara faktor utama ramai graduan gagal mendapatkan pekerjaan walaupun sudah banyak kali memohon, sama ada secara dalam talian atau menghadiri temu duga terbuka.

Masalah itu dapat diatasi sekiranya mereka menghadiri Program Temu Duga Terbuka Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) kelolaan Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang disokong syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta.

Mohammad Nor Ariffin Yusoff, 24, berdepan masalah itu sejurus menamatkan pengajian Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) apabila majikan hanya mahu pemohon ada pengalaman kerja dua hingga lima tahun.

"Selama tujuh bulan saya cari kerja, namun gagal. Jadi, saya bantu bapa yang bekerja sebagai tukang kayu, membaiki rumah dan memasang paip di kampung, selain secara separuh masa dengan syarikat katering," kata anak kelima daripada lapan beradik ini.

Katanya, beliau sanggup ke mana sahaja dalam usaha mencari kerja dan keputusan menghadiri Program Temu Duga Terbuka SL1M Peringkat Zon Tengah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini akhirnya membuahkan hasil.

"Saya menunggang motosikal dua jam dari Sabak Bernam dan sangat bersyukur diterima sebagai pelatih SL1M untuk Tenaga Nasional Berhad (TNB)," katanya.

Cabaran pertama berhasil Graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik Kuasa dari Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), P Vignes bagaimanapun lebih bernasib baik kerana terus berjaya menjadi pelatih di TNB pada cubaan pertama menghadiri temu duga SL1M. "Tak sangka cubaan pertama menghadiri temu duga ini berjaya.

Tanpa SL1M, mungkin saya pun sukar dapat kerja. Saya sangat berterima kasih kepada penganjur," katanya yang datang dari Sungai Petani, Kedah. Graduan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Mohamad Azlan Abdul Rahman juga tidak menyangka terus ditawarkan latihan bersama Malaysia Airlines Berhad (MAB), iaitu syarikat pertama dipilihnya untuk ditemuduga pada program berkenaan.

"Saya graduan Sarjana Muda Sains Pemakanan, namun diberi peluang menjalani latihan SL1M sebagai perunding khidmat pelanggan MAB. Menerusi SL1M, kita berpeluang menceburi bidang berbeza dengan kelulusan," katanya. Sementara itu, Aishah Ibrahim juga gembira diterima menjalani latihan dengan MAB sebagai perunding khidmat pelanggan walaupun kelayakan akademik dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) dalam seni reka grafik.

"Saya ada pengalaman bekerja dalam pengurusan acara dan ia sesuai dengan jawatan di MAB. Kelulusan dalam seni reka grafik akan menjadi nilai tambahan untuk kerjaya saya," katanya yang menamatkan pengajian di UiTM pada 2013.

Kurang keyakinan, tak pandai berkomunikasi Penganjuran Program Temu Duga Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) Peringkat Zon Tengah yang berakhir kelmarin, berjaya menarik lebih 30,000 pengunjung, terutama graduan. Mereka yang hadir rata-rata mahu merebut peluang mengisi kekosongan lebih 25,000 pekerjaan dan skim latihan yang ditawarkan.

Ketua Sekretariat SL1M, Norashikin Ismail, berkata peluang disediakan kerajaan itu harus direbut kerana tiada negara lain mempunyai program seumpamanya yang memberi bayaran untuk individu menjalani latihan bersama majikan.

"Ramai graduan yang sebelum ini tidak diterima syarikat besar, mendapat jawatan baik dengan gaji menarik selepas menyertai SL1M. Namun, amat mengecewakan masih ramai graduan belum tahu mengenai program ini walaupun sudah diuar-uarkan.

Anggap program latihan "Mereka mungkin anggap SL1M sekadar program latihan sedangkan ia sebaliknya.

SL1M satu-satunya program membolehkan graduan berjinak-jinak dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta," katanya. Katanya, ramai graduan dengan keputusan akademik kurang baik dan bukan dari bidang pengajian yang dikehendaki juga mampu bekerja dengan GLC selepas menyertai SL1M.

"Jika masih tertanya-tanya mengenai SL1M, datang ke program kami akan datang. Ubah sikap untuk merebut peluang ini," katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Pengambilan Bakat, Divisyen Kumpulan Sumber Manusia Tenaga Nasional Berhad (TNB), Rina Sarif berkata, antara kelemahan ketara graduan adalah kurang berkeyakinan dan tidak pandai berkomunikasi.

"Sebagai syarikat besar, TNB tidak hanya menerima graduan kejuruteraan tetapi apa sahaja latar belakang pengajian. "Pada program kali ini, 880 kekosongan disediakan TNB untuk SL1M dan pemohon yang berjaya terus diberi surat tawaran," katanya.

Berita Terkini

    Tiada ulasan

    Dikuasakan oleh Blogger.