Suspek Bunuh Kim Jong-nam Terima Bayaran RM400 - Media Shah Alam

Header Ads

Suspek Bunuh Kim Jong-nam Terima Bayaran RM400

Admin:Mohamad/Email:mediashahalam@gmail.com

CYBERJAYA 25 Feb. – Suspek utama kes pembunuhan Kim Jong-nam, Siti Aishah mendakwa menerima bayaran sebanyak RM400 untuk terlibat dalam satu ‘rancangan berbentuk realiti’.

Timbalan Duta Indonesia ke Malaysia, Andreano Erwin berkata, bagaimanapun Siti Aishah memaklumkan kepada pihaknya dia tidak menyedari bahawa rancangan berbentuk realiti itu merupakan satu plot pembunuhan terancang.

“Siti Aishah juga memberitahu kami dia tidak mengenali seorang lagi suspek warga Vietnam yang turut terlibat dalam plot pembunuhan itu.

“Dia mendakwa diberikan satu botol cecair seperti minyak untuk melaksanakan tugas tersebut oleh seorang lelaki asing yang hanya dikenali sebagai James,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas berjumpa dengan Siti Aishah di Kompleks Balai Polis Cyberjaya di sini hari ini.

Dalam pada itu, Andreano berkata, ketika pertemuan itu, Siti Aishah meminta supaya keluarganya di Indonesia tidak bimbang mengenai tahap keselamatannya.

Pada masa sama, katanya, tahap kesihatan Siti Aishah juga berada dalam keadaan baik namun, perlu rawatan lanjut untuk mengetahui tahap kesihatan sebenar.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan bahawa Jong-nam yang juga merupakan abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un dibunuh dengan menggunakan bahan kimia agen saraf VX.

Katanya, salah seorang suspek turut mengalami muntah-muntah akibat kesan sampingan bahan kimia itu yang disenaraikan sebagai senjata kimia di bawah Jadual 1 Akta Konvensyen Senjata Kimia 2005 dan Konvensyen Senjata Kimia (CWC) 1997. – UTUSAN ONLINE


Berita Terkini

    Tiada ulasan

    Dikuasakan oleh Blogger.