Tak Sanggup Nak Bagi Orang - Media Shah Alam

Header Ads

Tak Sanggup Nak Bagi Orang

KUALA KRAI - Enam beradik yang baharu kehilangan ibu minggu lalu akibat sesak nafas kini menumpang kasih nenek dan ibu saudara mereka.

Menurut Halimah Che Musa, 65, cucu-cucunya, Muhamad Muiz Danish Mohd Zabri, 8; Nuzuk Qystina Balqys, 7; Haffiz Zakuan, dan Muaz Zakuan, 5; Nuzul Aqilla Batrysha, 3, dan Muhamad Zarreyl Mikail, berusia 46 hari kini tinggal bersama dengannya.

Kata warga emas itu, anaknya, Mohd Zabri Zakaria, 31, telah berpindah ke rumahnya di Kampung Lenggong bagi memudahkannya menguruskan anak-anaknya selepas menantunya, Suriani@Buriani Abdul Rahman, 41, meninggal dunia.

Katanya, sejak menantunya meninggal dunia, cucu-cucunya sering demam mungkin disebabkan terlalu rindukan Allahyarham ibu mereka.

"Mereka tak pernah berenggang sebab itu mereka sangat merasai kehilangan arwah ibunya itu. Yang mana dah bersekolah mungkin dah faham, mereka cakap kalau mereka menangis pun, ibu mereka tetap tak akan pulang.

"Cumanya yang kecil masih tak mengerti ibu mereka dah tak ada," katanya ketika menerima kunjungan Puteri Umno Kuala Krai dan wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah di kediamannya, semalam.

Tambah Halimah, selepas kematian Suriani, Muhamad Zarreyl Mikail, yang menyusu badan sebelum ini terpaksa diberikan susu pekat manis.

"Kami tak mampu tapi atas nasihat doktor, kami beri dia susu formula. Awalnya agak payah dia untuk menyusu botol namun bila dah beberapa kali diberi minum susu formula, nampak dia dah mula boleh hisap," katanya lagi.

Kata Halimah, dia akan mengambil alih menjaga cucu-cucunya dengan dibantu ibu saudara kanak-kanak terbabit, Noratikah Zakaria, 25, dan Rossilawati Zakaria, 37, apabila anaknya keluar mencari rezeki.

"Mohd Zabri hanya kerja kampung, apa saja kerja, dia akan buat. Hari ini (semalam) dia tak ada sebab ke Gua Musang dengan abangnya," katanya.

Ujarnya, ada yang ingin mengambil cucu bongsunya untuk dibela.

"Mak cik takkan lepaskan cucu-cucu mak cik pada orang lain. Biar mak cik sendiri jaga dengan bantuan anak-anak lain," katanya.

Terdahulu, rombongan diketuai Zuraihah Muhammad menyampaikan sumbangan lampin pakai buang untuk tiga anak Allahyarham Suriani.

Manakala wakil JKM daerah turut menyampaikan sumbangan berupa barangan keperluan harian.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Agrobank Mohd Zabri 2006-7010-0031-8649.

Berita Terkini

    Tiada ulasan

    Dikuasakan oleh Blogger.