Bantah Pindah Lokasi Bina Jambatan - Media Shah Alam

Header Ads

Bantah Pindah Lokasi Bina Jambatan

Admin:Mohamad/Email:mediashahalam@gmail.com

T
ANAH MERAH - Lebih 100 penduduk Mukim Belimbing berhimpun bagi menggesa kerajaan supaya mengekalkan lokasi asal projek pembinaan jambatan kedua menghubungkan Machang dan Tanah Merah, di sini, hari ini.

Gesaan itu dibuat selepas lokasi asal projek menghubungkan Kampung Joh di Machang ke Kampung Belimbing melalui Kampung Pulau Raya di Tanah Merah dikatakan akan dipindahkan ke kawasan lain.

Penghulu Mukim Belimbing, Saari Hamzah berkata, tapak asal projek itu wajar dikekalkan supaya dapat membawa kemajuan dari segi kemudahan perhubungan dan ekonomi kepada kampung terlibat terutama Kampung Pulau Raya.

Katanya, kedudukan Pulau Raya diapit dua sungai dan beberapa kesan sejarah seperti perigi lama berusia lebih 100 tahun bakal menjadikannya sebagai destinasi pelancongan jika jambatan itu dibina melalui kampung berkenaan.

"Kami minta projek ini kekal sebagaimana tapak asal untuk mudahkan perhubungan dan bawa kemajuan ekonomi kepada penduduk Pulau Raya serta kawasan sekitar seperti Sungai Bagan, Kampung Joh dan Belimbing," katanya, semalam.

Projek pembinaan jambatan kedua Machang-Tanah Merah dengan anggaran kos RM60 juta itu diumumkan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, September tahun lalu.

Jambatan itu dilihat satu keperluan mendesak rakyat bagi mengatasi kesesakan lalu lintas dan menampung jumlah kenderaan yang banyak pada musim perayaan dan cuti sekolah di laluan berkenaan.

Bagaimanapun, lokasi projek itu dikatakan ditukar dan akan dibina menghubungkan Kampung Mata Air di Machang dengan Kampung Pasir Genda, Paloh di Tanah Merah.

Wakil penduduk Kampung Pulau Raya, Tiew Bung Ee, 58, berkata, jika lokasi asal projek dikekalkan, jambatan kedua itu akan memberi laluan alternatif kepada penduduk terutama pada musim banjir.

"Kalau musim tengkujuh, memang susah bagi penduduk nak keluar kerja, budak nak pergi sekokah atau sakit demam sebab kampung kami terkepung air," katanya.

Tambahnya, jambatan melalui kampung itu juga bakal memberi kemudahan kepada ramai penduduk luar yang mengusahakan kebun getah dan buah-buahan di pulau berkenaan.

"Itu pun ada lagi tanah terbiar dan pemilik hanya bayar cukai hasil saja sebab payah nak usahakan. Kalau ada jambatan, kampung ini boleh maju lagi," katanya.

Berita Terkini

    Tiada ulasan

    Dikuasakan oleh Blogger.