Empat Tahun Hidup Tanpa Bekalan Letrik - Media Shah Alam

Header Ads

Empat Tahun Hidup Tanpa Bekalan Letrik

TUMPAT - Kesempitan hidup memaksa sebuah keluarga di Kampung Cherang, Chabang Empat, hidup daif tanpa bekalan elektrik sejak empat tahun lalu.

Eh Phoon Eng Merang, 49, yang bekerja sebagai tukang rumah tidak punyai pilihan lain dan terpaksa menetap di rumah yang sempit bersama tiga anak masih kecil.

“Selepas berkahwin, saya pindah di sini dan bina sendiri rumah untuk kami sekeluarga berteduh.

“Saya tak pernah mohon bekalan elektrik kerana khuatir dikenakan bayaran mahal,” katanya.

Anak sulung Eh Phoon, Kanja, 9, Prayuk, 8, dan Pramit berusia tiga bulan hasil perkahwinan dengan isterinya, Chong Ram, 37.

Eh Phoon berkata, apabila anak-anak semakin membesar, dia mula menyedari betapa pentingnya keperluan bekalan elektrik untuk kesempurnaan hidup.

“Kalau ada bekalan elektrik memudahkan anak-anak saya mengulang kaji pelajaran pada waktu malam.

“Cuaca panas sekarang ini juga perlu bekalan elektrik untuk hidupkan kipas tapi saya tak dapat sediakan itu semua,” katanya.

Menurutnya, anaknya agak ketinggalan perkembangan semasa kerana tiada televisyen di rumah dan kerja sekolahnya perlu disiapkan sebelum menjelang malam.

Katanya, pada waktu malam dia menggunakan lilin dan demi keselesaan anak bongsunya, dia menggunakan bateri motosikal untuk hidupkan mentol.

“Ada anak kecil ini susah sikit jika tiada bekalan elektrik, jadi saya guna bateri motosikal untuk dapatkan bekalan elektrik,” katanya.

Eh Phoon berkata, walau pun kediamannya selamat daripada binatang berbisa tetapi kadang kala dia gusar juga jika ada binatang itu masuk ke dalam rumah pada waktu malam.
-SINAR HARIAN



Berita Terkini

    Tiada ulasan

    Dikuasakan oleh Blogger.