Interpol keluarkan notis merah ke atas 4 suspek bunuh Jong-nam - Media Shah Alam

Header Ads

Interpol keluarkan notis merah ke atas 4 suspek bunuh Jong-nam

Admin:Mohamad/Email:mediashahalam@gmail.com

PUTRAJAYA - Polis Malaysia telah mendapat Notis Merah Interpol bagi penangkapan empat warga Korea Utara berhubung pembunuhan Kim Jong-nam, kata Ketua Polis Tan Sri Khalid Abu Bakar.

"Kami telah mendapat notis daripada Interpol ke atas mereka dan kami berharap dapat menangkap mereka melalui Interpol," katanya mengenai perkembangan terkini siasatan yang sedang dijalankan berhubung kes pembunuhan Jong-nam.


Notis Merah Interpol merupakan instrumen paling hampir bagi waran penangkapan antarabangsa yang digunakan hari ini.

Jong-nam, 45 tahun, abang pemimpin tertinggi Korea Utara Kim Jong-un, didakwa dibunuh dua wanita warga asing yang menyapu mukanya dengan agen saraf VX ketika berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 13 Feb untuk menaiki pesawat ke Macau.

Jong-nam, yang memiliki pasport tertera nama Kim Chol, meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.

Dua wanita warga asing - Siti Aisyah, 25, warga Indonesia, dan Doan Thi Huong, 29, warga Vietnam didakwa di Mahkamah Majistret Sepang pada 1 Mac lalu berhubung kes itu.

Semasa ditemui pemberita pada majlis penutup Persidangan Antarabangsa mengenai Rohingya di sini hari ini, Tan Sri Khalid berkata, keempat-empat suspek Korea Utara itu dipercayai berada di Pyongyang sekarang.

Beliau berkata, kesemua suspek terbabit berada di KLIA2 semasa kejadian dan telah meninggalkan Malaysia.

Keempat-empat lelaki yang dikehendaki itu adalah Rhi Ji-hyon, 33, Hong Song-hac, 34, O Jong-gil, 55, dan Ri Jae-nam, 57.

Mereka telah memasuki Malaysia secara berasingan beberapa hari sebelum pembunuhan itu.

Tan Sri Khalid menambah, mayat Jong-nam telah diserahkan kepada Kementerian Kesihatan dan Kementerian Luar untuk diuruskan

Dalam satu perkembangan lain, keluarga mendiang Kim Jong-nam memberi kebenaran kepada kerajaan Malaysia untuk menguruskan mayat rakyat Korea Utara itu.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim bagaimanapun enggan mengulas lanjut bila dan di mana waris mangsa memberikan kebenaran itu.

"Saya difahamkan (keluarga mangsa) serahkan kepada pihak kerajaan untuk urus mayat...kita akan uruskan," katanya pada sidang media selepas merasmikan seminar "Belia and TN50: Perspektif Keselamatan Negara" di Shah Alam, Selangor, hari ini.

Jong-nam, abang pemimpin Korea Utara Kim Jong-un, didakwa dibunuh oleh dua wanita warga asing yang menyapu mukanya dengan agen saraf VX ketika berada di klia2 untuk menaiki pesawat ke Macau.

Jong-nam, yang memiliki pasport tertera nama Kim Chol, meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.

Tan Sri Noor berkata, siasatan ke atas kes pembunuhan itu selesai mengikut protokol antarabangsa yang ketat dengan terdapat baki empat suspek untuk dihadapkan ke muka pengadilan. - mStar Online, Sinar Harian

Berita Terkini

    Tiada ulasan

    Dikuasakan oleh Blogger.