Jepun Rancang Tarik Lebih Ramai Pelancong Muslim - Media Shah Alam

Header Ads

Jepun Rancang Tarik Lebih Ramai Pelancong Muslim

Admin:Mohamad/Email:mediashahalam@gmail.com

KUALA LUMPUR: Jepun merancang untuk menarik lebih ramai pelancong di kalangan penduduk Islam di Malaysia ke negara matahari terbit itu mulai tahun ini.
Presiden Pertubuhan Pelancongan Kebangsaan Jepun (JNTO), Ryoichi Matsuyama berkata, peningkatan kira-kira 30 peratus pelancong Malaysia ke Jepun yang mencecah hampir 400,000 pada 2016 berbanding tahun sebelumnya mendorong pertubuhan itu merangka perancangan berkenaan.
Bagaimanapun katanya, antara cabaran utama yang dihadapi dalam merangka pakej pelancongan Muslim adalah kesukaran untuk mendapatkan makanan halal di Jepun.
"Justeru, kita akan memperkenalkan lebih banyak makanan halal di Jepun untuk kemudahan pelancong Islam.
"Kita juga mahu memberi jaminan dari segi keselesaan dan keselamatan, selain tarikan seperti alam semula jadi dan budaya yang dinikmati kebanyakan pelancong Malaysia apabila berkunjung ke Jepun," katanya pada sidang media selepas majlis perasmian pembukaan Pejabat JNTO di sini, Isnin.
Majlis disempurnakan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Turut hadir, Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Seri Mirza Mohammad Taiyab; Presiden Presiden Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta), Datuk Hamzah Rahmat; Timbalan Menteri Tanah, Infrastruktur, Pengangkutan dan Pelancongan Jepun, Tanaka Tyosei dan Duta Jepun ke Malaysia, Dr. Makio Miyagawa.

Ditanya berapa jumlah pelancong Muslim yang datang ke Jepun tahun lalu, Matsuyama berkata, pihaknya tidak mempunyai butiran terperinci tetapi akan membuat kajian mengenainya susulan rancangan untuk menarik lebih ramai kumpulan sasar itu.

Selain itu katanya, JNTO juga mahu memastikan pelancong Malaysia yang pernah ke Jepun untuk berkunjung semula ke negara itu menerusi pelbagai tawaran dan destinasi percutian menarik.

Menurut Matsumaya, pihaknya juga akan menambah penerbangan terus dari Malaysia ke kebanyakan destinasi di Jepun seperti Tokyo, Osaka dan Hokkaido.

"Kita mahu mengetengahkan orang Jepun seperti kepelbagaian budaya mereka sebagai tarikan kepada luar.

"Selain itu, kita juga bercadang untuk memperkenalkan kemudahan penerbangan domestik buat pelancong Malaysia ke destinasi lain dalam negara," katanya.
-mStar

Berita Terkini

    Tiada ulasan

    Dikuasakan oleh Blogger.