Mahkamah Tolak Rayuan Chegubard dan 11 Lain - Media Shah Alam

Header Ads

Mahkamah Tolak Rayuan Chegubard dan 11 Lain

Admin:Mohamad/Email:mediashahalam@gmail.com

KUALA LUMPUR, 28 Mac: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini mengekalkan hukuman denda RM6,000 dan sabitan terhadap bekas Ketua PKR Cabang Rembau Badrul Hisham Shaharin dan lapan individu lain bagi kesalahan menyertai perhimpunan dan merusuh di Jalan Parlimen pada 2013.

Hakim Datuk Azman Abdullah membuat keputusan itu selepas menolak rayuan kesemua perayu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang diputuskan Hakim Mahkamah Sesyen Abdul Rashid Daud pada 31 Mei 2016.

Selain Badrul Hisham atau lebih dikenali sebagai Chegubard, mahkamah mengekalkan hukuman itu terhadap Adam Adli Abdul Halim, Muhammad Safwan Anang@Talib, Norazimah Mohamad Nor, Ahmad Shauqie Abdul Aziz, Ahmad Syukri Che Ab Razab, Lim Sue Pei, Edy Noor Reduan dan Md Sani Md Shah.

Mereka didakwa menyertai perhimpunan itu bagi melakukan mudarat awam di Jalan Parlimen antara 9.15 pagi dan 11.25 pagi pada 24 Jun 2013, mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan.

Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa merusuh di persimpangan jalan masuk ke bangunan Parlimen pada 11.25 pagi pada tarikh sama dan didakwa mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

Mahkamah turut mengekalkan sabitan dan hukuman denda RM2,000 terhadap Muhammad Aiman Hakim Zainal, Annie Ooi Siew Lan dan Mah Chee Hoe atas pertuduhan menyertai perhimpunan sama.

Dalam penghakimannya, Azman berkata setelah meneliti rekod rayuan dan hujahan kedua-dua pihak, mahkamah memutuskan sabitan bersalah oleh hakim Mahkamah Sesyen adalah selamat untuk dikekalkan.

Katanya mahkamah juga berpuas hati bahawa hukuman yang dijatuhkan oleh hakim Mahkamah Sesyen bukan terlampau berat.

“Hakim Mahkamah Sesyen mengenakan hukuman yang ringan atas alasan tiada senjata digunakan dan tidak merosakkan harta awam,” katanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zalina Awang@Mamat manakala peguam Haijan Omar dan Zulhazmi Shariff bertindak bagi pihak kesemua perayu.

— Bernama

Berita Terkini

    Tiada ulasan

    Dikuasakan oleh Blogger.