Malaysia Akan Penuhi Permintaan China Bagi Minyak Makan - Media Shah Alam

Header Ads

Malaysia Akan Penuhi Permintaan China Bagi Minyak Makan

Admin:Mohamad/Email:mediashahalam@gmail.com

TIANJIN: Malaysia, pembekal minyak sawit utama ke China, akan terus menawarkan minyak makan berkualiti tinggi bagi memenuhi keperluan warga China, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Mah Siew Keong.

Beliau berkata Malaysia telah melabur dari segi kewangan dan modal insan untuk lebih mengetahui kesan minyak sawit ke atas kesihatan manusia.
Ini dibuktikan dengan penemuan terkini daripada Program Minyak Sawit Merah, oleh Institut Penyelidikan dan Perkhidmatan Teknikal Minyak Sawit MPOB (POTSIM) di Gansu, China di mana 2,000 kanak-kanak sekolah diberi biskut yang diperbuat daripada lelemak sawit merah untuk melawan kekurangan vitamin A.

"Hasilnya, setelah memakan biskut berasaskan kelapa sawit, kekurangan (vitamin A) turun daripada 21.6 peratus kepada 6.0 peratus.
"Ini jelas menunjukkan bahawa minyak sawit memainkan peranan lebih besar di pasaran minyak dan lemak China dan kami yakin penggunaan minyak sawit di China akan terus meningkat," katanya.

Mah berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Forum Kesihatan dan Nutrisi Minyak Sawit Kelima serta Seminar Mengenai Pengurusan Kawalan Jangkitan : Pemilihan Sarung Tangan Tepat di sini, Rabu malam.

Forum ini adalah acara penting di China yang telah dimulakan bekas Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Datuk Dr Choo Yuen May.
Mah berkata kekurangan vitamin A merupakan isu kesihatan awam yang penting di negara-negara membangun dan punca utama buta serta mortaliti.
Minyak sawit merah telah dikaji sebagai makanan tambahan dan sebahagian daripada makanan untuk meningkatkan tahap vitamin A, katanya.

Ia berkesan dan bertindak membantu mengukuhkan bekalan makanan di negara-negara di mana kekurangannya meluas, terutamanya di China, di mana ramai masih tidak sedar tentang manfaat minyak sawit.

"Itulah sebab utama mengapa kementerian, bersama-sama MPOB dan Majlis Minyak Sawit Malaysia, mengadakan forum dan seminar untuk mewujudkan kesedaran bagi minyak yang boleh dimakan.

"Kami juga akan bekerjasama rapat dengan pakar-pakar di China terutamanya dengan Presiden Persatuan Pemakanan Tianjin Profesor Dr Qi Yumei untuk membantu kami menjalankan ujian dan, diharapkan, memberikan pengetahuan kepada kerajaan China," tambah Mah.

Sejak 30 tahun lepas, Malaysia telah memulakan dan bekerjasama dengan institusi penyelidikan bioperubatan dan pemakanan di seluruh dunia, termasuk China, untuk menjalankan kajian klinikal yang berkaitan dengan minyak sawit, katanya.

"Hari ini terdapat banyak bukti saintifik yang menyokong fakta bahawa minyak kelapa sawit adalah minyak makan dan berkhasiat," katanya.
Mah berkata Malaysia akan terus memberi sokongan dan meningkatkan penggunaan minyak sawit di China melalui usaha POTSIM di Shanghai.

Malaysia mempunyai 5.64 juta hektar ladang kelapa sawit dan mengeksport 25.3 juta tan metrik minyak sawit dan produk minyak sawit pada 2015, menjana US$15.3 bilion dalam pendapatan tukaran asing.

Melalui pendapatan berkenaan, Mah berkata Malaysia dapat mengimport barangan dari China dan membantu mengekalkan perdagangan dua hala yang baik antara kedua-dua negara.

-mStar

Berita Terkini

    Tiada ulasan

    Dikuasakan oleh Blogger.