Menteri MHA tegur Dr Khairudin Aljunied berhubung komen mengenai insiden imam - Media Shah Alam

Header Ads

Menteri MHA tegur Dr Khairudin Aljunied berhubung komen mengenai insiden imam

SINGAPURA: Menteri Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam hari ini (3 Mac) menegur seorang pensyarah Universiti Nasional Singapura (NUS), Dr Syed Khairudin Aljunied.
Ini setelah Dr Khairudin, kata Encik Shanmugam, menggalak pencercaan seorang individu yang mendedahkan tentang komen-komen seorang Imam di sebuah masjid tempatan.
Ia berlaku di tengah-tengah siasatan polis terhadap komen seorang Imam yang didakwa menghina agama Kristian dan Yahudi.
Imam tersebut dilaporkan kepada polis oleh seorang lelaki bernama Terence Helikoan Nunis, setelah dikatakan menyeru "kemenangan" terhadap penganut Kristian dan Yahudi semasa khutbah Jumaat 6 Januari lalu, dan sekali lagi pada 24 Februari.
Encik Nunis menulis: "Islam bukan sedang berperang dengan penganut agama lain.. Ini peninggalan dari zaman lain yang tidak sepatutnya dikekalkan. Kami tidak seharusnya menggalak pemikiran seperti ini atau membiarkan doa seperti ini."
SHANMUGAM: DR KHAIRUDIN "MENGGALAK PENCERCAAN"
Dalam ucapan beliau di Parlimen hari ini, Encik Shanmugam berkata, khutbah agama yang menggalakkan keganasan atau bertujuan mengapi-apikan satu agama dengan yang lain tidak akan diambil remeh, kata Menteri Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam hari ini (3 Mac).
Encik Shanmugam bagaimanapun juga menyebut seorang ahli akademik, iaitu Dr Khairudin, yang mengkritik secara terbuka individu yang membuat komen imam itu diketahui umum.
Dr Khairudin, seorang Profesor Madya di Jabatan Pengajian Melayu, memuat naik komennya di Facebook.
Encik Shamugam berkata Dr Khairudin "menggalak pencercaan" individu yang membuat perkara itu diketahui umum.
DR KHAIRUDIN "SALAH DAN TIDAK BOLEH DITERIMA"
Berdasarkan apa yang diperkatakan Dr Khairudin, menurut Encik Shanmugam, pensyarah itu seolah-olah mencadangkan bahawa dibolehkan "untuk Imam tersebut berkata bahawa kaum Yahudi dan Kristian harus ditumpaskan. Beliau menganggap bahawa Imam tersebut berniat membawa maksud tersebut, dan Encik Khairudin melihatnya sebagai tiada salahnya, walaupun jika Imam tersebut meniatkan maksud kata-katanya itu".
Menteri MHA itu menyifatkan tingkah laku Dr Khairudin sebagai "salah dan tidak boleh diterima".
Encik Shanmugam menambah: "Beliau (Dr Khairudin) berbuat demikian tanpa mengesahkan fakta-faktanya, dan tanpa memeriksa konteksnya. Beliau (Dr Khairudin) menyokong kedudukan yang bertentangan dengan norma-norma, nilai-nilai dan undang-undang di Singapura."
POLIS PERIKSA "SECARA MENDALAM" SEMUA YANG TERLIBAT
Encik Shanmugam berkata pihak polis akan "memeriksa isu itu, dan tingkah laku semua yang terlibat secara mendalam".
Beliau menasihatkan supaya apabila isu-isu seperti itu timbul, langkah terbaik ialah agar semua pihak merujukkannya kepada Polis.
Mengetengahkannya kepada ruang awam jelas Encik Shanmugam, mungkin akan mengapi-apikan pandangan sedemikian dengan lebih luas lagi.
Sebelum komen Encik Shanmugam di Parlimen itu, Dr Khairudin menulis melalui Facebook dalam satu catatan yang berasingan bahawa pendapat awal beliau "tidak bermaksud untuk memfitnah, menghina atau berkata buruk mengenai sesiapa, atau sesiapa yang anda difikirkan".
Ia bertujuan untuk "menggambarkan perkara yang lebih besar iaitu kita semua harus beringat bahawa: Islam adalah agama yang aman dan menggalakkan keamanan, seperti agama lain," jelas beliau.
BUKAN KONTROVERSI ONLINE YANG PERTAMA
Pada tahun 2014, Dr Khairudin berdepan dengan kontroversi online berhubung beberapa catatan Facebook yang membincangkan pendapat beliau tentang homoseksualiti.
Ini sehingga provos NUS Tan Eng Chye mengeluarkan satu makluman kepada para kakitangan dan mahasiswa yang menyatakan komen Dr Khairudin "mengandungi bahasa yang menghasut, tidak sesuai dan kesat."
Prof Tan juga berkata beliau memberikan nasihat kepada Dr Khairudin, yang mengakui bahawa "niatnya hanya menyampaikan pendapat, dan catatan beliau mencerminkan penilaian dan pemilihan kata-kata yang lemah."
IMAM YANG DIPERTIKAIKAN
Imam yang dipertikaikan itu dikatakan menukil beberapa kali ayat-ayat al-Quran yang membawa maksud "Tuhan memberikan kami kemenangan ke atas Yahudi dan Kristian".
Jika imam itu menukil ayat berkenaan bagi menekankan bahawa Yahudi dan Kristian harus ditumpaskan, ia akan menjadi sesuatu "yang langsung tidak dapat diterima", kata Encik Shanmugam.
Menegakkan kedudukan pihak berkuasa, beliau berkata: "Pemerintah mengambil kedudukan yang tegas apabila para Muslim diserang. Mereka didakwa, dan dijatuhi hukuman penjara. Perkara yang sama akan dikenakan kepada sebarang serangan kepada agama lain."
Tindakan yang wajar akan diambil jika imam itu benar-benar melakukan "saranan yang menghasut", kata Encik Shanmugam.
Namun beliau menekankan bahawa pihak berkuasa harus bersikap adil kepada Imam itu, kerana "kami tidak tahu konteks sebenar yang digunakan imam itu".
Namun, kedudukan Pemerintah harus diperjelaskan, kata beliau, kerana perkara sebegitu berpotensi untuk menjadi lebih buruk. 
- TODAY/ru

Berita Terkini

    Tiada ulasan

    Dikuasakan oleh Blogger.