Pusingan U RUU355 UMNO dan PAS - Media Shah Alam

Header Ads

Pusingan U RUU355 UMNO dan PAS

PUTRAJAYA, 30 Mac: Tidak timbul soal pusingan U dalam keputusan Barisan Nasional (BN) untuk tidak membentangkan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)(Pindaan) 2016 atau RUU 355, kata Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata ini adalah kerana keputusan itu berlandaskan polisi BN iaitu tidak boleh meneruskan sekiranya tidak mendapat konsensus dalam kalangan parti komponen BN.

“Keputusan tersebut adalah satu tindakan menghormati suara dan pandangan semua parti komponen dalam BN.

“Ini tiada apa-apa kaitan dengan pusingan U atau sebagainya. Kita perlu menghormati semangat konsensus dalam BN,” katanya kepada pemberita selepas Dialog Transformasi Nasional (TN50) sempena Hari Terbuka Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Khairy mengulas berhubung kenyataan Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak semalam yang menyatakan parti itu memutuskan tidak membentangkan RUU355 selaras dengan dasar dan amalan BN yang membuat keputusan berdasarkan persetujuan bersama.

Dalam isu berasingan, Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata kerajaan perlu mencari kaedah bagi menjana lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan belia terutama di sektor swasta.

Beliau berkata sektor awam semata-mata tidak boleh menampung bilangan pemohon-pemohon pekerjaan tersebut

“Satu usaha perlu dilaksanakan untuk memastikan pengangguran belia dapat dikurangkan dan tidak meningkat. Saya percaya perkara ini mendapat perhatian Unit Perancangan Ekonomi untuk belanjawan akan datang,” katanya.

Bank Negara baru-baru ini melaporkan, walaupun kadar pengangguran dalam negara rendah iaitu sekitar dua hingga tiga peratus tetapi ia agak tinggi dalam kalangan siswazah iaitu 10 peratus.

— Bernama

Tiada ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.