RUU Seksual Kanak-kanak Bukan Ganti Akta Kanak-Kanak - Media Shah Alam

Header Ads

RUU Seksual Kanak-kanak Bukan Ganti Akta Kanak-Kanak

SEREMBAN, 31 Mac: Rang Undang-undang (RUU) Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang dibentangkan di Dewan Rakyat untuk bacaan kali pertama selasa lepas bukan untuk menggantikan Akta Kanak-Kanak 2001, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Sebaliknya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata RUU itu diperkenalkan bagi memperincikan lagi hukuman terhadap pelaku jenayah terhadap kanak-kanak.

“RUU ini bersama (dengan Akta Kanak-Kanak 2001)…Akta Kanak-Kanak ini ia lebih memberi perlindungan kepada kanak-kanak, kita lindung, selamatkan, beri kaunseling, banyak menjaga kanak-kanak.

“RUU ini lebih berat hukumannya kepada si pelaku…pelaku ini tidak kira, kalau kanak-kanak (si pelaku) kena cekup sama. Akta sedia ada ini asyik terlepassi pelaku itu dan jadi kami tak mahu mudah macam itu sahaja kerana mangsanya adalah kanak-kanak,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program #Negaraku_Kasihkita_KPWKM di Taman Sinar Harapan Tengku Ampuan Najihah di sini yang turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Datuk Zulkiply Ramli dan Pengarah JKM Negeri, Mohamad Hapil.

Selain itu, Rohani berkata pengwujudan undang-undang itu juga antara lain bagi menepis persepsi masyarakat dunia bahawa Malaysia adalah sebuah syurga pedofilia.

Mengulas lanjut, beliau berkata RUU berkenaan dirangka mengikut contoh amalan dari negara luar seperti United Kingdom, Australia dan India.

“Sebab di situ (tiga negara berkenaan) kes seperti ini banyak…jadi kita tak perlu buat kajian lagi dan belajar daripada pengalaman mereka. Kementerian saya juga akan bersama dalam satu platform dinamakan ‘We Protect’.

“We Protect ini kerja dia untuk mengesan pedofilia di seluruh dunia. Jadi apa-apa pergerakan kita akan tahu,” katanya.

RUU Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 bertujuan melindungi dan menjaga kebajikan kanak-kanak di Malaysia.

RUU itu, yang dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said, memperuntuk kesalahan dan hukuman termasuk pornografi kanak-kanak, pengantunan, amang seksual fizikal dan amang seksual bukan fizikal.

— Bernama

Berita Terkini

    Tiada ulasan

    Dikuasakan oleh Blogger.