Sikap Tenang Najib Membuah Kejayaan Selesai Krisis Dengan Korea Utara - Media Shah Alam Sikap Tenang Najib Membuah Kejayaan Selesai Krisis Dengan Korea Utara - Media Shah Alam

728x90 AdSpace

.
Pena Tidak Didendang
10 TERKINI
Jumaat, 31 Mac 2017

Sikap Tenang Najib Membuah Kejayaan Selesai Krisis Dengan Korea Utara

KUALA LUMPUR, 31 Mac: Konflik dengan pihak Korea Utara bukanlah satu perkara mudah untuk diselesaikan, termasuk oleh negara-negara kuasa besar, menurut seorang penganalisis politik antarabangsa hari ini.

Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, mana-mana negara yang berkonflik dengan Korea Utara mungkin terpaksa mengambil masa yang panjang untuk sebarang penyelesaian di meja rundingan dan ia dianggap sebagai suatu yang mustahil untuk diselesaikan dalam masa yang singkat.

Mengulas kejayaan Malaysia menyelesaikan ketegangan hubungan diplomatik dengan Korea Utara dalam tempoh 46 hari susulan kes pembunuhan Kim Jong-nam,

abang kepada pemimpin tertinggi Korea Utara Kim Jong-un, katanya dasar berkecuali Malaysia dan sikap tenang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dilihat menjadi asas kepada kejayaan itu.

Kes tersebut dilihat sebagai sangat sensitif jika tidak diselesai dengan baik, katanya kepada Bernama hari ini.

“Dasar berkecuali Malaysia yang tidak berpihak kepada mana-mana kuasa besar dunia dilihat sebagai asas kepada kejayaan dalam menyelesaikan konflik yang tercetus ekoran pembunuhan Kim Jong-nam yang berlaku di Malaysia itu dalam masa yang singkat.

“Tak semua negara mempunyai hubungan yang baik (dengan Korea Utara) dan langkah Malaysia sebenarnya ialah sesuai sebagai sebuah negara yang berkecuali tanpa memihak atau tunduk kepada Amerika Syarikat atau China atau kuasa besar dunia lain.

“Dasar Malaysia yang dilihat berkecuali tetapi tegas dalam beberapa isu melibatkan antarabangsa sebenarnya membuat Korea Utara sukar untuk menolak rundingan kedua-dua pihak untuk menyelesaikan konflik secara diplomasi,” katanya.

Awang Azman berkata hubungan baik Malaysia dan Korea Utara dibina sejak zaman perdana menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein lagi dan Malaysia adalah negara pertama di dunia yang mengecualikan keperluan visa untuk rakyat Korea Utara dan sebaliknya sejak 2009 sebelum kemudahan itu ditarik balik pada 2 Mac lalu atas faktor keselamatan.

“Apa pun persepsi terhadap krisis diplomatik Malaysia-Korea Utara, hakikatnya hubungan kedua-dua negara ini memang baik sejak 44 tahun dahulu,” katanya.

Dalam pada itu, katanya sikap tenang Najib sebagai pemimpin negara jelas sekali dalam memastikan isu Jong-nam dapat diselesaikan dengan baik atas prinsip Malaysia sebagai sebuah negara berkecuali.

“Sikap perdana menteri (Najib) yang tenang dalam menyelesaikan isu ini dengan rasional dan ‘win-win situation’ di antara kedua pihak perlulah diberikan penghargaan oleh rakyat di negara ini.

“Malaysia yang berpegang prinsip sebagai negara berkecuali dan berpendirian setiap konflik dapat diselesaikan secara rundingan terbukti menjadi resepi kejayaan ini,” katanya.

Pembunuhan Jong-nam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 9 pagi 13 Feb lalu telah merenggangkan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Korea Utara.

Keadaan menjadi lebih tegang pada 4 Mac selepas Malaysia mengisytiharkan duta Korea Utara Kang Chol sebagai “Persona Non Grata” (orang yang tidak dialu-alukan) dan diarah untuk meninggalkan Malaysia dalam tempoh 48 jam.

Korea Utara bertindak balas dengan mengusir Duta Malaysia di Pyongyang.

Pada 7 Mac, Pyongyang menghalang rakyat Malaysia meninggalkan negara itu dan Kuala Lumpur mengambil tindakan sama ke atas warganegara Korea Utara yang berada di negara ini.

Awal hari ini sembilan rakyat Malaysia yang sebelum ini dihalang daripada meninggalkan Korea Utara susulan perbalahan diplomatik antara Kuala Lumpur dan Pyongyang selamat tiba di tanah air pukul 5.03 pagi sekaligus mengakhiri babak 46 hari hubungan tegang Malaysia dan Korea Utara.

— Bernama


Berita Terkini

    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 ulasan:

    Item Reviewed: Sikap Tenang Najib Membuah Kejayaan Selesai Krisis Dengan Korea Utara Rating: 5 Reviewed By: Media Shah Alam