Tiada Keperluan Debat Dengan Mufti Perlis - Media Shah Alam

Header Ads

Tiada Keperluan Debat Dengan Mufti Perlis

Admin:Mohamad/Email:mediashahalam@gmail.com

KUALA LUMPUR: PAS tidak melihat keperluan bagi Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, memenuhi cabaran Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, untuk berdebat dalam isu cadangan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355).

Sebaliknya, parti siasah itu menyarankan isu berkenaan dibincang dalam muzakarah membabitkan semua mufti bagi membolehkan golongan berkenaan mendapat penjelasan langsung daripada Hadi selaku individu yang bertanggungjawab membawa Rang Undang-Undang Persendirian untuk meminda Akta 355.

Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan, berkata inisiatif itu dapat menyelaraskan kefahaman dan keputusan serta tindakan semua mufti di negara ini, sekali gus berupaya mengangkat satu keputusan muktamad daripada mufti ke arah meninggikan syariat Allah.

“Isu Pindaan Akta 355 ini selayaknya dibahas secara ilmiah, jujur dan tenang. Golongan cendikiawan Islam mestilah memandunya dengan pendekatan yang terbaik.

“Semoga hasilnya memulangkan manfaat yang besar kepada proses memperkasakan syariat di Malaysia, bukan meretak-belahkan umat Islam dengan pelbagai kekeliruan dan akhirnya menjadi fitnah kepada Islam dan umatnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Cabaran Asri untuk berdebat dengan Hadi menyusul selepas Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN), Universiti Utara Malaysia, Dr Kamarul Zaman Yusoff menyarankan debat itu hanya sesuai diadakan antara Asri dan Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Isu debat timbul selepas kritikan Asri terhadap usul berkenaan yang dibidas Khairuddin dalam ceramahnya baru-baru ini, dengan mendakwa jika ada mufti yang berkata pindaan akta itu tidak wajib, kepalanya patut `disekeh’.

-Berita Harian Online

Berita Terkini

    Tiada ulasan

    Dikuasakan oleh Blogger.