Adik Mangsa Culik Abu Sayyaf Ucap Terima Kasih Kepada PM Najib - Media Shah Alam

Header Ads

Adik Mangsa Culik Abu Sayyaf Ucap Terima Kasih Kepada PM Najib

Admin:Mohamad/Email:mediashahalam@gmail.com

MARAN - Adik mangsa culik kumpulan Abu Sayyaf Filipina yang baru pulang daripada menemui abangnya di Hospital Selayang menyampaikan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia terutamanya pihak polis dan kerajaan yang banyak menghulurkan bantuan.

Mohd Raisuddin Ismail, 31, yang merupakan adik kepada Mohd Ridzuan Ismail,33, berkata, kehilangan abangnya selama lapan bulan sebelum diselamatkan tentera Filipina ibarat menerima berita orang mati hidup semula.

"Kami bersyukur. Gembira... terharu. Segala rasa bercampur baur. Ini atas doa dan bantuan semua. Saya juga merakamkan penghargaan tertinggi kepada orang kampung Felda Jengka 7, saudara mara terdekat, jiran tetangga, rakan-rakan dan pelbagai pertubuhan yang tak putus-putus mendoakan kami.

"Selain kata-kata semangat, mereka juga sama sama mengadakan majlis bacaan yasin, solat hajat dan kenduri doa selamat sebagai usaha mendoakan keselamatan abang. Jasa dan perhatian anda semua Allah sahaja yang mampu membalasnya," katanya.

Abangnya Mohd Ridzuan diculik bersama empat yang lain, iaitu juragan kapal tunda, Abdul Rahim Summas, 62; Tayudin Anjut, 45, Fandy Bakran, 26, dan Mohamad Jumadil Rahim, 23.

Abdul Rahim dan Tayudin diselamatkan oleh pasukan keselamatan Filipina dalam operasi khas di perairan Kalinggalang Caluang berhampiran Pulau Pulau Pata di Wilayah Sulu, pada 23 Mac.

Manakala, Mohd Ridzuan, Fandy dan Mohamad Jumadil diselamatkan oleh tentera Filipina dalam operasi khas di sebuah kampung di Panglima Estino, Wilayah Sulu, kira-kira jam 11.30 malam pada 26 Mac.

Pembebasan mereka mendapat perhatian istimewa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang sangat bersimpati dengan nasib mereka malah mahukan mereka diberi rawatan kesihatan terbaik.

Raisuddin turut menyampaikan rasa terharu abangnya yang memuji sikap kebapaan dan keibuan Datuk Seri Najib dan Datin Seri Rosmah Mansur yang melayani mereka dikediaman rasmi Perdana Menteri.

"Tak tenang selagi belum menyuarakan rasa terima kasih yang tidak terhingga kepada pihak yang membantu membebaskan abang dan yang lain-lain.

Saya balik ke Jengka 7 kelmarin selepas beberapa hari berada di Kuala Lumpur dan menziarah abang di Hospital Selayang.

"Setakat ini Alhamdulillah dia sihat cuma semakin kurus. Mereka minta media menyampaikan rasa terima kasih kepada kerajaan Malaysia dan Filipina khususnya Datuk Seri Najib , Presiden Filipina Rodrigo Duterte. Selain itu pihak yang berjasa termasuk kerajaan Sabah, tentera Pilipina, Presiden Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, Duta Malaysia di Filipina, Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF), APPM, Tentera Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), dan masyarakat mendoakan keselamatan kami," katanya.

Tambah Mohd Raisuddin, mereka sangat berbangga menjadi rakyat Malaysia yang begitu prihatin dan cakna dengan nasib malang yang menimpa dengan mengadakan majlis doa selamat dan bacaan Yaasin.

Menurutnya, abang beliau tidak sabar untuk pulang menemui keluarga di kampung halaman dan tentu sekali dia ingin pulang ke rumah sendiri bersama-sama isterinya sebelum ke sini.-Sinar Harian

Berita Terkini

    Tiada ulasan

    Dikuasakan oleh Blogger.