Hasrat Nenek Untuk Naik Kapal Terbang Tercapai - Media Shah Alam

Header Ads

Hasrat Nenek Untuk Naik Kapal Terbang Tercapai

IPOH: Berbekalkan tiga pasang baju kurung dan beberapa biji gula-gula, Za Said menaiki penerbangan pertamanya seumur hidup ke Johor Bahru.

Perjalanan ini semestinya tidak akan dilupakan oleh penduduk Kampung Lempor, Kuala Kangsar ini, kerana beliau bukan sahaja akan menaiki pesawat tetapi juga akan tinggal di sebuah hotel mewah dan dibawa bersiar-siar menaiki kapal mewah ‘Black Pear’.

Za yang lebih suka membahasakan dirinya Opah akan menikmati hidangan bufet makan tengah hari di hotel penginapannya sebelum pulang ke rumah pada Isnin.

"Opah hanya pergi ke Pulau Pinang sekali ketika masih kecil.
"Selain itu, Opah tak pernah keluar dari Kuala Kangsar," kata bekas penoreh getah yang telah membesarkan enam anaknya selepas kehilangan suami.

"Mustahil Opah dapat tidur lena malam tadi. Opah rasa sangat teruja," katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah di sini, Sabtu.

Alumni Sekolah Menengah Raja Perempuan Kelsom telah merancang perjalanan ini selepas mengetahui tentang impian Za untuk terbang.

Selepas penerbangan Malindo Air yang dinaiki tiba di Johor Bahru, bendahari alumni Nor'Azian Shaw yang mengiringi Za berkata: "Za berada dalam keadaan amat baik dalam penerbangan walaupun hujan lebat.

"Beliau sentiasa melihat luar tingkap untuk menikmati pemandangan awan dan bandar ketika berlepas dan mendarat," katanya.

Nor'Azian, bersama presiden alumni Mabel Muttiah dan setiausaha, Raja Shaira Raja Sheridan juga akan membawa Za membeli-belah dan bersiar-siar.

"Kami juga akan pastikan beliau dapat mencuba semua hidangan Johor yang terkenal," kata Nor'Azian, sambil menambah mereka mahu menjadikan pengalaman ini sebagai sesuatu yang menyeronokkan untuk Za.
"Seperti yang anda lihat, beliau seorang yang sangat aktif walaupun sudah berumur," kata
Nor'Azian, sambil menambah lawatan itu adalah sebahagian daripada usaha khidmat masyarakat oleh alumni.

Hadiah hari jadi untuk Za ini muncul selepas Nor'Azian, yang berasal dari kampung yang sama dengan Za, mendapat tahu tentang impian warga tua itu.

Penaung alumni Raja Puan Mahkota Perak Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah dan penasihat Raja Mariam Raja Mohamed Iskandar turut hadir untuk menghantar Za di lapangan terbang.-mStar

Berita Terkini

    Tiada ulasan

    Dikuasakan oleh Blogger.