Hujan Lebat, Angin Kencang Landa Ipoh - Media Shah Alam

Header Ads

Hujan Lebat, Angin Kencang Landa Ipoh

Admin:Mohamad/Email:mediashahalam@gmail.com

IPOH: Hujan lebat serta angin kencang yang melanda Bandaraya Ipoh menyebabkan beberapa insiden pokok tumbang, namun setakat ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Antara yang tumbang adalah Pokok ''Ipoh'' yang ditanam sejak 37 tahun lalu di hadapan Stesen Keretapi Ipoh di sini.
Ia ditanam pada 18 Januari 1980 oleh Menteri Besar Datuk Seri Wan Mohamed Wan Teh bersempena ulang tahun ke-50 Kelab Rotary Ipoh.
Selain itu, pokok setinggi bangunan lima tingkat turut tumbang berhampiran lampu isyarat di First Garden di sini.
Penolong Kanan II Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh Kamaruzaman Subari berkata pihaknya menerima panggilan kira-kira 4.06 petang Jumaat.
"Pokok itu telah menutup jalan ke arah pusat bandar dan Silibin," katanya ketika dihubungi di sini Jumaat.
Seramai 12 anggota termasuk seorang pegawai serta dua jentera dikejarkan ke lokasi kejadian untuk kerja-kerja pengalihan pokok yang turut dibantu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, katanya.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) Mohd Syahrizal Azmi berkata seramai 15 pekerja bersama lima lori terlibat dalam kerja membersih pokok Ipoh berkenaan.
"Proses membersih masih dijalankan. Bagaimanapun keputusan untuk menanam semula atau tidak pokok itu akan diputuskan nanti," katanya.
Orang ramai yang ditemui Bernama berkata rakyat negeri seperti kehilangan satu daripada mercu tanda bandar raya Ipoh selepas pokok itu tumbang.
Pesara kerajaan, Musthpar Abd Aziz, 56, berkata pokok berkenaan menjadi lambang bandar raya ini.
"Kini tinggal kenangan sebab dulu-dulu dekat sini (hadapan stesen kereta api) ada gerai-gerai makan, selalu bawa anak-anak saya.
"Teringat mereka selalu tanya saya pasal pokok ini, tetapi sekarang dah tumbang. Harap pihak berkaitan akan tanam semula pokok itu," katanya yang berasal dari Manjung.
Sementara itu, pelajar kolej swasta, Idayu Othman, 21, terkejut selepas melihat keadaan pokok Ipoh ketika baru tiba dari Kuala Lumpur menaiki perkhidmatan tren elektrik (ETS).
"Saya rasa terkejut macam mana pokok sebesar itu boleh tumbang. Rasa macam kehilangan sebuah pemandangan yang indah bila pokok itu tiada lagi," katanya.- BERNAMA

Read more at http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2017/04/28/angin-kencang-ipoh/#7WkquIkHeT6kBruE.99

Berita Terkini

    Tiada ulasan

    Dikuasakan oleh Blogger.