Lagi Tiga Tahun Tebatan Banjir Pulau Pinang Siap - Media Shah Alam

Header Ads

Lagi Tiga Tahun Tebatan Banjir Pulau Pinang Siap

Admin:Mohamad/Email:mediashahalam@gmail.com

GEORGE TOWN, 3 April: Kerajaan DAP Pulau Pinang memerlukan masa lebih tiga tahun sebelum kesemua projek mengatasi masalah banjir dapat disiapkan sepenuhnya.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir negeri, Chow Kon Yeow berkata kerajaan negeri telah memperuntukkan RM150 juta yang diumum tahun lepas, untuk menjalankan projek-projek tebatan banjir.

Menurutnya, tender untuk tujuh projek di bawah peruntukan itu akan mula dipanggil bulan depan manakala tender dua lagi dijangka dikeluarkan tahun depan.

“Peruntukan itu membabitkan sembilan projek secara keseluruhan dan tujuh projek itu boleh ditender Jun ini dengan harapan September ini boleh mula pelaksanaan di tapak. Kesemua sembilan projek itu akan siap dalam tempoh dua hingga tiga tahun,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata isu banjir sememangnya menjadi keutamaan kerajaan negeri untuk diselesaikan secepat mungkin.

Sabtu lepas, lebih 10 kawasan di Pulau Pinang ditenggelami air selepas hujan lebat dan angin kencang yang berlarutan sejak pukul 7 malam.

Antara kawasan terjejas ialah Lorong Batu Lanchang, Jalan P. Ramlee, Sungai Pinang, Jalan Taman Free School, Jalan Bukit Relau, Sungai Ara, Paya Terubong,Greenlane, Jalan Masjid Negeri, Sungai Nibong, Bukit Jambul dan Farlim.

Terdahulu, Chow berkata kerajaan negeri turut menggunakan caruman pemaritan sumbangan pihak pemaju sejak tahun 1990-an sebanyak RM50 juta untuk melaksanakan 12 projek mengurangkan risiko banjir.

“Selain itu, saya yakin RM150 juta yang diperuntukkan oleh kerajaan pusat untuk projek kerja naik taraf Sungai Pinang juga akan mula dilaksanakan hujung tahun ini,” katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri melalui Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan Majlis Perbandaran Seberang Perai turut menjalankan aktivit pengorekan sampah di parit dan sungai bagi mengatasi masalah banjir.

— Bernama

Berita Terkini

    Tiada ulasan

    Dikuasakan oleh Blogger.