PBT Selangor roboh Sekolah Rohingya - Media Shah Alam PBT Selangor roboh Sekolah Rohingya - Media Shah Alam

728x90 AdSpace

.
Pena Tidak Didendang
10 TERKINI
Ahad, 2 April 2017

PBT Selangor roboh Sekolah Rohingya

SERDANG – Tidak ada ungkapan yang sesuai untuk menggambarkan keadaan yang menimpa pengurusan Sekolah Rohingya di Sri Serdang di sini melainkan zalim dan kejam.

Ketika anak-anak etnik Rohingya menerima pendidikan yang diajar oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) secara sukarela, tiba-tiba kantin dan surau yang menjadi sebahagian daripada struktur sekolah itu telah dirobohkan.

Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) memberi alasan sekolah itu dibina secara haram atas tanah milik kerajaan Selangor dan kawasan berkenaan pula dikatakan hendak dimajukan kolam tebatan banjir sebagai antara usaha kerajaan negeri mengatasi masalah banjir kilat.

Bagaimanapun, notis yang dikeluarkan oleh PBT berkenaan ialah mengosongkan bangunan sekolah itu dalam tempoh segera, tanpa menyediakan alternatif lain seperti kawasan baharu untuk Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim Malaysia (PKSMM) meneruskan usahanya memberi pendidikan kepada anak-anak etnik Rohingya yang menjadi pelarian di negara ini.

Menurut Pengerusi PKSMM, Dr. Raja Ahmad Iskandar Raja Yaakob, tindakan penguatkuasa PBT berkenaan merobohkan kantin dan surau di depan anak-anak etnik Rohingya memberikan gambaran buruk mengenai kerajaan Malaysia.

Ujar beliau, PBT terbabit seharusnya menggunakan kaedah lain dalam tindakannya hendak menghapuskan kewujudan sekolah itu supaya Malaysia tidak dianggap sama zalim seperti kerajaan Myanmar.

“Saya selaku pihak NGO yang bertanggungjawab dalam memberi pendidikan kepada anak etnik Rohingya ini melahirkan rasa sedih, kecewa dan simpati kepada kerajaan negeri kerana terlalu terdesak untuk mendapatkan kawasan itu untuk projek pembangunan negeri.

“Kejadian meroboh kantin dan surau ini berlaku di depan mata anak-anak Rohingya. Mereka dalam keadaan takut dan panik. Mereka sangka apabila berada di Malaysia, segala-galanya selamat dan terkawal, tetapi sangkaan mereka meleset.

“Kita telah menunjukkan suatu perbuatan yang tidak baik di depan mereka. Kita menggambarkan kita juga sama zalim dengan kerajaan Myanmar,” ujar beliau pada sidang media di Sekolah Rohingya, Knowledge Garden Learning Centre di sini hari ini.
Pengerusi Serantau Muslim, Dr Raja Ahmad Iskandar Raja Yaakob bercakap pada sidang media Pembantahan Kerajaan Negeri Selangor Merobohkan Sekolah Rohingnya di Knowledge Garden Centre, Serdang , Selangor. foto ADIB AIMAN ROSLI , 2 APRIL 2017

Ketika wartawan sampai di sekolah itu, dapat dilihat dengan jelas kesungguhan anak-anak etnik menimba pendidikan di bahagian bangunan sekolah yang masih tersisa kesan daripada tindakan meroboh kantin dan surau.
Kata Raja Ahmad Iskandar lagi, anak-anak etnik Rohingya adalah pelarian sah yang diterima oleh kerajaan Malaysia ketika negara mereka dilanda peperangan penghapusan etnik.
“Mereka kemudian diserahkan kepada PKSMM untuk menguruskan anak-anak ini dengan memberi pendidikan. Kita wujudkan kelas dari darjah satu hingga darjah enam dan mereka belajar Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Sains serta Bahasa Myanmar.
“Seramai lima guru disediakan untuk mengajar mereka ini dengan gaji guru dibayar hasil derma dan sumbangan orang ramai,” katanya.
Katanya, bangunan sekolah itu juga akan diruntuhkan bila-bila masa dari sekarang, manakala beliau buntu memikirkan nasib 37 murid etnik Rohingya kerana tidak ada tempat baharu untuk menempatkan mereka.
Pihak PKSMM telah mengadu masalah itu kepada wakil rakyat kawasan berkenaan, tetapi tidak ada usaha diambil bagi menyelamatkan sekolah itu.
Beliau sekali lagi merayu kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Mohamed Azmin Ali agar menangguhkan usaha hendak merobohkan sekolah itu dan meminta belas ihsannya agar menyediakan tapak baru untuk mereka meneruskan mendidik anak-anak etnik Rohingya. – MalaysiaGazette



Berita Terkini

    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 ulasan:

    Item Reviewed: PBT Selangor roboh Sekolah Rohingya Rating: 5 Reviewed By: Media Shah Alam