Pengedar Dadah Warga Malaysia Ditangkap di Tahiland - Media Shah Alam

Header Ads

Pengedar Dadah Warga Malaysia Ditangkap di Tahiland

Admin:Mohamad/Email:mediashahalam@gmail.com

BANGKOK, 25 Apr: Pihak berkuasa Thailand menahan seorang lagi rakyat Malaysia disyaki anggota utama sindiket dadah di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi yang sibuk semalam, sebelum suspek menaiki penerbangan pulang ke Malaysia.

Lelaki berusia 44 tahun dari Pulau Pinang itu ditahan pada 7 malam (waktu tempatan) selepas pihak berkuasa Thailand menjalankan pengawasan terhadapnya berhubung peranan suspek yang dua kali gagal untuk menyeludup dadah ke Malaysia awal tahun ini dan akhir hujung tahun lepas.

“Lelaki Malaysia itu tiba di Bangkok kira-kira dua minggu lepas dan sentiasa dalam pengawasan polis sejak itu,” kata Timbalan Ketua Biro Penindasan Narkotik (NSB) Thailand Mejar Jen Pornchai Charoenwong di lapangan terbang semalam.

Menurutnya, lelaki itu dipercayai anggota utama di sebalik penemuan 87kg ice di sebuah rumah sewa di Hatyai Januari lepas serta rampasan 52.4kg heroin dan 41.9kg ice dari sebuah kereta yang dipandu dua lelaki warga Malaysia di Chumphon, Disember tahun lepas.

Pornchai berkata semasa soal siasat, kedua-dua lelaki rakyat Malaysia yang ditahan hujung tahun lepas itu telah mendedahkan kepada pihak berkuasa Thai, mengenai pembabitan lelaki Pulau Pinang itu dalam kedua-dua kes penyeludupan dadah tersebut.

“Suspek banyak kali datang ke Thailand sebelum ini untuk menempah bekalan dadah. Sebaik urusan selesai, dia akan pulang ke Malaysia dan menunggu bekalan dihantar,” katanya dan menambah pihak polis masih meneruskan siasatan mengenai lelaki itu dan sindiketnya.

Selain penahanan lelaki Pulau Pinang itu, polis Thai juga berjaya membuat satu lagi tangkapan berprofil tinggi terhadap seorang warga Malaysia yang merupakan anggota kanan sindiket dadah antarabangsa, di Lapangan Terbang Hatyai, Rabu lepas.

Lelaki yang digelar ”Mr T” itu berasal dari Johor, didakwa bertanggungjawab terhadap beberapa percubaan menyeludup beratus-ratus kilogram ice ke Malaysia dan menjalankan operasi perniagaan melalui pengubahan wang haram hasil daripada aktiviti dadah.

— BERNAMA

Berita Terkini

    Tiada ulasan

    Dikuasakan oleh Blogger.