Rafizi Dicabar Dedah Siapa Orang PAS Terima Wang 1MDB - Media Shah Alam

Header Ads

Rafizi Dicabar Dedah Siapa Orang PAS Terima Wang 1MDB

Admin:Mohamad/Email:mediashahalam@gmail.com

MARANG - Ketua Penerangan Pas Terengganu, Mohd Nor Hamzah cabar Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli membuktikan tuduhan mengatakan orang rapat dengan pimpinan Pas menerima wang 1Malaysian Development Berhad (1MDB).

“Dengan menyebut ‘orang yang rapat’ dengan pimpinan Pas sahaja, adakah berkualiti fitnah itu? Jika benar sekalipun ‘rapat’, adakah rakan rapatnya juga terpalit kalau seseorang itu berbuat onar?” soalnya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

Jika begitu, katanya, Rafizi sepatutnya dipertanggungjawabkan memfitnah Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana beliau sekarang sudah rapat dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dan boleh disabitkan sebagai golongan pembenci Islam kerana rapat dengan DAP.

“Mungkin boleh kita kata Rafizi jenis tidak amanah suka bawa lari kerusi Parlimen atau Dun kerana rapat dengan ahli Parlimen Amanah yang telah melarikan kerusi Pas secara batil.


“Fitnah yang rendah kualiti ini juga dikesan kerana dia mahu rakyat menunggu sehingga berminggu-minggu sebelum dia mendedahkan bahagian yang seterusnya.

“Ini tidak lebih hanya mahukan rakyat terpaku menunggu, dan terus menuduh Pas, agar tumpuan kejayaan membentang pindaan RUU 355 dilupakan rakyat. (Ini) Politik kotor gaya Machiavelli, matlamat menghalalkan cara,” katanya.

Adun Bukit Payong itu juga berkata, jika benar Rafizi anak jantan, buktikan segera pertuduhan itu kerana hanya orang kurang akal sahaja membuat tuduhan tanpa bukti kukuh kemudian menyuruh tertuduh membuktikan diri tertuduh tidak bersalah.

“Sedangkan berbelas tahun PKR melawan tuduhan yang dibawakan bukti-bukti terhadap salah laku Ketua Umum mereka, kini mereka mengubah sistem pembuktian setelah berkawan dengan Tun Dr Mahathir. Sungguh dangkal dan pengecut tindakan memfitnah ini.

“Jika benar sudah membenci Pas, dengan ada bukti yang jelas, laporkan sahaja kepada pihak berkuasa untuk menyiasat dan mengambil tindakan agar nanti mudah pada PRU, tiada gangguan daripada Pas.

“Langkah ke Putrajaya kamu akan menjadi lebih mudah. Itu pun jika rakyat memilih kamu kerana gembira dengan mainan politik jijik kamu ini,” katanya.

Beliau berkata, Pas kini hanya menunggu dengan sabar kedatangan hari penentuan tahaluf iaitu Muktamar Tahunan Pas bakal berlangsung di Kedah nanti.

Soalnya, Pas sentiasa berbudi tetapi adakah rakan Pas itu akan berbahasa? Atau rakan itu hanya melukut di tepi gantang, kemudiannya mahu menjadi tuan dengan menjadikan Pas budak suruhan, mahu Pas tunduk dan patuh kepada mereka.

“Islam tidak mengajar untuk mengkhianati rakan, tidak melampau dalam bermusuh tetapi Islam mengajar agar menjaga maruah diri jika dipijak rakan atau musuh,” katanya.-SINAR ONLINE

Berita Terkini

    Tiada ulasan

    Dikuasakan oleh Blogger.