Tok Gajah Belasah JDT 3-1 - Media Shah Alam

Header Ads

Tok Gajah Belasah JDT 3-1

Admin:Mohamad/Email:mediashahalam@gmail.com

KUANTAN 1 April - Pahang melakar kemenangan paling sensasi musim ini apabila membenam juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) 3-1 dalam suku akhir pertama Piala FA di Stadium Darul Makmur, hari ini.

Kemenangan itu membolehkan anak-anak buah Dollah Salleh meraih bekalan sebelum bertandang ke Larkin dalam aksi timbal balik pada 23 April nanti.

Stadium Darul Makmur bergegar pada minit ke-13 apabila Ahmad Syamim Yahya melakukan tandukan cantik untuk gol pembukaan Tok Gajah.

Jaringan yang menggamatkan stadium yang dihadiri kira-kira 30,000 penyokong tuan rumah itu adalah hasil hantaran kapten Pahang, Matthew Davies.
Bagaimanapun, jaringan itu tidak bertahan lama apabila kesilapan penjaga gol Pahang, Wan Muhamad Azraie Wan Teh di minit ke-21 yang gagal menangkap bola dengan baik mengundang padah apabila bola muntah disambar Marcos Antonio untuk gol pe­nyamaan Harimau Selatan.

Bermula separuh masa kedua, Pahang tidak menunggu lama untuk menambah jaringan menerusi Matheus Alves pada minit ke-48 yang berjaya melambungkan bola menewaskan Izham Tarmizi yang sedikit berada di luar kotak penalti.

Taktik Dollah membawa ma­suk Chinedu Dike menggantikan Ashari Samsudin membuahkan hasil selepas Dike menambah jaringan Pahang pada minit ke-66 menjadikan kedudukan 3-1.
Sementara itu, di Stadium Darul Amar, Alor Setar, Kedah terlalu unggul untuk dicabar PKNP FC apabila mudah membenam cabaran kelab dari Perak itu 6-1.
Dua jaringan Mohd. Fitri Omar mengetuai pesta gol tuan rumah manakala empat lagi jaringan Lang Merah hadir menerusi Liridon Krasniqi , Mohd. Farhan Ros­lan, Muhd. Syafiq Ahmad dan Ken Ilso Larsen.

PKNP membalas dengan satu gol menerusi Mohamad Khairul Asyraf Ramli hasil rembatan dari jarak kira-kira 30 meter.
Dalam aksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, skuad Penyu gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di tempat sendiri apabila sekadar seri 1-1 dengan Sarawak.

Tuan rumah membuka jaringan menerusi pemain import dari Argentina, Matias Falcone pada minit ke-21.
Namun, Lee Jong-ho menyamakan kedudukan buat Sarawak di minit ke-53.

Di Stadium Likas, Kota Kinabalu Sabah tumbang di tempat sendiri apabila tewas 0-1 kepada pendahulu Liga Perdana, Negeri Sembilan.
Gol tunggal pasukan pelawat disempurnakan oleh penyerang kelahiran Croatia, Marko Simic pada minit ke-26.


Berita Terkini

    Tiada ulasan

    Dikuasakan oleh Blogger.