Ular Menyusur Akar Takkan Hilang Bisanya - Media Shah Alam

Header Ads

Ular Menyusur Akar Takkan Hilang Bisanya

KADANGKALA elok juga penasihat DAP, Lim Kit Siang dan anaknya, Setiausaha Agung parti itu, Lim Guan Eng (tak pasti sudah disahkan atau tidak) merenung balik pepatah Melayu ini:

“Ular menyusur akar takkan hilang bisanya (orang besar yang merendah diri tidak akan hilang martabatnya)”.

Meneliti pepatah ini, serta-merta penulis teringat kepada dua individu yang seorang pernah berada dalam DAP sementara seorang lagi masih kekal dalam parti itu.

Sikap merendah diri dan berhemah kedua-dua mereka ini, Lee Lam Thye dan Dr. Tan Seng Giaw menggamit perasaan sesiapa.

Lam Thye, bekas pemimpin DAP yang dilihat pintar dan lincah meninggalkan partinya menjelang Pilihan Raya Umum 1990.

Dia seangkatan dengan Kit Siang dan keupayaannya hampir menyamai Kit Siang. Ada panda­ngan menyatakan kiranya Kit Siang berundur, Lam Thye adalah salah seorang calon yang layak menggantikannya.

Lam Thye, yang hanya berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memperlihatkan perjua­ngan yang tidak lagi berpaksi kepada sentimen perkauman yang sempit. Beliau memulakan karier politiknya dengan menjuarai rakyat miskin di Bukit Bintang.

Perjuangan Lam Thye dengan membela rakyat marhaen dapat dilihat dengan hasil kerjanya yang tak mengira masa. Bahkan, dilaporkan beliau membawa sebuah mesin taip buruk dalam keretanya untuk menaip petisyen kepada pihak berkuasa tempatan yang berkaitan untuk menyampaikan keluhan masyarakat.

Malah plat kereta beliau diaba­dikan untuk kerja kebajikannya dengan nombor 3333 atau diterjemah sebagai hidup-hidup-hidup-hidup!.

Mengenali Seng Giaw pula, semua maklum kematangan beliau berpolitik. Politik bertanggungjawab inilah yang harus dipelajari anak beranak Lim.

Menjangkau usia 75 tahun dan menyandang Ahli Parlimen Kepong sejak 1982 lagi, kebolehannya jarang ditemukan dalam kalangan ahli politik pembangkang di negara ini.

Anak kelahiran Kota Bharu ini yang mahir menulis dan membaca jawi serta fasih berbahasa Malaysia menjadi contoh kepada pemimpin politik pembangkang yang sering menjadikan perkara yang tiada isu sebagai ‘isu’.

Doktor pakar kulit yang pernah berkhidmat sebagai doktor pakar dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ini sukar dilihat menabur fitnah dan tohmahan terhadap ke­rajaan. Dalam sidang Dewan Rakyat pun, amat jarang melihatnya ‘meng­ganggu’ sesi perbahasan ha­nya kerana mahu memanipulasi isu.
Beliau juga pernah mengeluarkan komen yang berten­tangan de­ngan pemimpin-pe­mimpin DAP.

“Kami (PAC) melihat beliau (Datuk Seri Najib Tun Razak) bukan terlibat secara langsung de­ngan 1MDB. Namanya malah hanya timbul setelah beliau dinamakan sebagai ahli lembaga penasihat,” kata Seng Giaw yang juga Timbalan Pengerusi PAC tahun lalu.

Barangkali tidak hairanlah me­ngapa Seng Giaw ‘dibunuh’ awal-awal lagi dalam pemilihan jawatankuasa eksekutif pusat DAP pada 2012.
Kelibat ‘Lam Thye dan Seng Giaw’ masih ada lagikah dalam DAP?

-UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.