Aktivis Media Sosial Pro-BN : Ikhlas atau Dedak? - Media Shah Alam Aktivis Media Sosial Pro-BN : Ikhlas atau Dedak? - Media Shah Alam

728x90 AdSpace

.
Pena Tidak Didendang
10 TERKINI
Ahad, 18 Jun 2017

Aktivis Media Sosial Pro-BN : Ikhlas atau Dedak?

Semasa Majlis Iftar Aktivis Media Sosial Pro-BN 2017, saya terdengar seorang blogger ‘otai’ berkata kpd rakannya dalam Bahasa Inggeris yang bermaksud “Kamu nampak apa yang saya lihat? Mereka ini hanyalah orang biasa yang tidak dilatih dengan politik cyber.” Saya tidak pasti tujuan sebenar kata-kata blogger itu sama ada memperlekehkan ataupun kagum?

Apapun maksudnya, saya mengakui bahawa kebanyakan yang hadir terdiri daripada sukarelawan-sukarelawan dalam kalangan ahli atau penyokong BN. Mereka bukan penulis terlatih. Juga bukan orang upahan yang menulis untuk tuannya. Seperti kata blogger itu “hanyalah orang biasa” daripada pelbagai latar belakang - pelajar, suri rumah, peniaga, kakitangan kerajaan dan swasta hinggalah ke golongan professional.

Tidak pasti bilakah gelombang kebangkitan cyber pro-BN itu bermula dan siapakah penggeraknya? Pembangkang mendakwa ianya adalah kerana “dedak” ataupun upah yang dibayar oleh pihak BN kepada sekumpulan pemain cyber untuk mempertahan BN.

Namun hakikat sebenarnya ialah sebahagian besar penggiat media sosial pro-BN adalah tidak berbayar yang menjalankan kerja-kerja sukarela mempertahankan BN menggunakan telefon bimbit / komputer dan data internet yang dibiayai sendiri.

Ini berlaku kerana kesedaran dalam diri mereka yang menyokong aspirasi BN demi melihat BN terus memerintah Malaysia.

Mereka keluar dari zon selesa untuk membantu pertahankan kerajaan BN dan Perdana Menteri. Disokong dengan bahan-bahan yang disediakan oleh portal-portal pro kerajaan yang pantas menjawab isu yang dibangkitkan oleh pihak pembangkang.

Kumpulan-kumpulan FB atau WhatsApp pro-BN diwujudkan bagi menghimpun penyokong-penyokong BN.

Di sana mereka berkongsi idea, maklumat dan bahan untuk menjawab atau membalas serangan pembangkang. Ini menyebabkan mereka lebih bersemangat, yakin dan berani menyokong dan mempertahankan BN di alam maya malah dapat menarik lebih ramai pengikut yang pro-BN.

Pergolakan yang berlaku dalam UMNO pada tahun 2014-2016 menyaksikan Perdana Menteri seakan-akan sendirian menghadapi serangan dari luar dan dalam.

Di mana pemuka-pemuka UMNO bermain selesa dengan berdiam diri terhadap serangan yang dilemparkan terhadap beliau. Pada saat-saat sukar seperti itulah datangnya gerombolan tentera maya pro-BN entah dari mana mempertahankan Perdana Menteri sehingga timbulnya fenomena #RespectMyPM.

Sokongan kuat rakyat terhadap Perdana Menteri yang diserang secara keterlaluan tanpa ehsan ternyata telah memulihkan semangat beliau untuk terus bertahan menerajui negara ini. Beberapa kali dalam ucapannya Perdana Menteri dan Timbalannya mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada aktivis media sosial pro-BN yang disifatkan sebagai wira tidak didendang.

Tahun ini, para aktivis dihimpun dan diraikan oleh pihak Perdana Menteri. Tanda penghargaan buat mereka yang berjuang tanpa diminta.

Bahawa sesungguhnya di samping biro-biro serta petugas dalam parti rupa-rupanya ada satu lagi aset yang boleh diharap dikenali sebagai Aktivis Media Sosial Pro-BN yang sedia dan setia membantu. Dan jumlah mereka bukanlah setakat yang berada di dalam dewan itu sahaja malah melimpah ruah di setiap penjuru tanah air menanti genderang dibunyikan. Tahniah Aktivis Media Sosial Pro-BN.
Ditulis oleh :
Hazlyn Ismail
Kuala Terengganu
18/6/2017


Berita Terkini

    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 ulasan:

    Item Reviewed: Aktivis Media Sosial Pro-BN : Ikhlas atau Dedak? Rating: 5 Reviewed By: Media Shah Alam