Luka rindu wanita bernama Vida - Media Shah Alam

Header Ads

Luka rindu wanita bernama Vida

Admin:Mohamad/Email:mediashahalam@gmail.com

USAHAWAN yang juga jutawan kosmetik pemilik Vida Beauty Sdn. Bhd. itu sering terlihat gila-gila sewaktu muncul di kaca televisyen. Tingkahnya mampu mencetuskan pelbagai prasangka.

Mungkin bagi sesetengah pihak, beliau disifatkan kelakar dan tidak peduli soal malu, namun bagi satu pihak yang lain pula, mungkin itu karakter dan strategi yang diperlukan oleh seorang peniaga sepertinya untuk melariskan produk jualan.

Itulah Datuk Seri Vida (DSV). Beliau tidak memerlukan sekadar pujian dalam hidup kerana adakalanya kecaman juga boleh mendatangkan impak positif buatnya. Telah banyak getir dilaluinya sehingga suatu ketika dia terduduk tidak berdaya menanggung dugaan Tuhan. Namun, takdir tidak sekejam yang disangka. Kesukaran dahulu kini dibayar Tuhan dengan limpah kemewahan sebagaimana diketahui semua.

“Dahulu hidup saya susah. Ayah meninggal dunia sewaktu saya berusia lapan tahun. Hidup sebagai anak yatim dan dibesarkan oleh ibu tiri menjadikan saya seorang yang berdikari. Demi mahu merasai nikmat pakai baju raya, saya buat biskut raya dan jual sendiri. Masa hari biasa, setiap kali balik sekolah saya keluar menjaja kacang butir.

“Pernah sekali saya cuba cari duit peninggalan ayah di dalam almarinya tetapi ayah tidak tinggalkan duit. Orang zaman dahulu, biasanya tinggalkan harta macam tanah kebun atau sebagainya, nak duit tetap kena kerja,” jelas Vida yang dibesarkan ibu tiri sejak berusia 10 bulan selepas ibu kandungnya diceraikan arwah bapanya.

Klip video raya

Sebagai merakamkan segala nostalgia zaman kanak-kanak, Vida sanggup bersusah-payah menghasilkan sebuah klip video istimewa sempena Aidilfitri tahun ini. Video yang mengundang air mata tersebut telah dimuat naik menerusi saluran YouTube, Quputeh Beauty sejak 21 Jun lalu.

“Saya sendiri yang arahkan klip video tersebut. Bagi saya, ia agak susah sebab banyak perkara yang perlu dipersiapkan terutama prop yang mewakili zaman kecil saya.

“Tujuan saya buat klip video ini dengan tujuan untuk mengembalikan memori yang sangat berharga dalam hidup saya,” jelasnya yang menampilkan anak perempuannya, Nur Edlynn Zamileen Mohammad Amin, 12.

Tambah Vida, sengaja Nur Edlynn atau panggilan manjanya Cik B dipilih sebagai pelakon utama klip video berkenaan bagi memberi pendedahan kepada anak-anaknya tentang kesusahan yang dilalui beliau sebelum berjaya seperti hari ini.

“Cik B perlu menjiwai watak saya sebagai satu pendedahan buat dirinya. Dia cuma disuruh berlakon buat kuih dan jual kuih tetapi sudah mengadu penat. Jadi, dia kena tahu betapa susahnya saya dahulu.

“Bisnes yang diwarisi kadangkala buat saya risau kalau tidak tahu bawa diri, entah ke mana jua. Lagipun kalau saya guna pelakon lain, anak orang lain takut emosi saya tak sampai.

“Cik B juga sama macam saya dulu-dulu, gemuk dan hitam. Cik B pun pernah dikecam sebab gemuk dan hitam. Bagi saya, biarlah dia membesar sebagaimana dirinya. Nak putih dan cantik, boleh buat, mudah sahaja,” jelas Vida yang terkenal dengan tagline Qu Puteh Qu Puteh, barulah putih, dalam mempromosi produk kecantikannya.

Dugaan terhebat, Syawal terpilu

Beberapa kali hidupnya diselubungi krisis dan tragedi. Paling tidak dapat dilupakan Vida pastinya tragedi kehilangan dua orang anak lelakinya, Muhammad Eddie Zuhdie Mohd. Amin dan Muhammad Edrie Zikrie. Mohd. Amin dalam insiden kebakaran pada Ogos tahun 2013. Sewaktu kejadian masing-masing berusia 11 dan 10 tahun.

“Mereka meninggal pada malam 27 Ramadan tahun berkenaan iaitu malam-malam Lailatul Qadar. Mereka pun memang selalu bertanya pasal Lailatul Qadar. Jadi, raya tahun berkenaan memang berendam air mata, namun saya kuatkan hati dengan beranggapan mereka dijemput Ilahi dalam keadaan penuh maruah. Biarpun meninggal dalam kebakaran tetapi sedikit pun waima sehelai bulu roma mereka tidak dijilat api.

“Yang syahdunya, sewaktu saya meninggalkan mereka untuk urusan perniagaan di Pulau Pinang, mereka sudah memakai baju raya. Mereka meninggal dunia pun dengan memakai baju raya,” jelas Vida yang sering terkenangkan anak sulung dan keduanya itu terutama saat meraikan kejayaan dalam perniagaan.

“Apabila terkenangkan arwah berdua, saya tidak berasa terlalu ralat sebab banyak meluangkan masa bersama mereka. Seminggu sebelum kejadian, saya dan Cik B dapat rasakan perubahan pada anak sulung.

“Dia lawa dan wajahnya bercahaya. Cik B pula kata mata abang sulungnya sangat cantik, malah sanggup mahu korek mata Eddie semasa tidur,” jelas Vida yang hanya benar-benar menikmati raya sempurna sewaktu anak-anaknya masih hidup biarpun ketika itu dia bergelar ibu tunggal.

Tambah wanita kelahiran Machang, Kelantan itu:

“Tetapi itu semua dahulu. Dahulu, saya menziarahi kubur arwah ayah, raya sekarang, saya melawat pusara anak pula, itulah cerita raya saya.”

Jodoh tidak berpanjangan

Bukan sahaja melalui episod menyayat hati mengebumikan dua jenazah anak sendiri di dalam satu liang lahad, Vida juga pernah berdepan tiga episod keruntuhan rumah tangga menerusi tiga perkahwinannya.

Beliau bercerai dengan suami pertamanya, Mohd. Amin sekitar 15 tahun lalu (2002), suami keduanya, Tuan Azid (April 2014) dan suami ketiga, Fairoz Ahmad Zainuddin pada April 2017.

Seteguh mana emosi seorang wanita, sekuat mana hati seorang isteri, sesebuah perceraian pastinya meninggalkan susuh dalam sanubari.

Untuk wanita seperti Vida, kejayaan dalam perniagaan dan kemewahan yang dikecapi ternyata bukan jaminan untuk hidup seperti kebanyakan para isteri yang lain. Dia ditakdirkan untuk tidak panjang jodoh dengan lelaki bergelar suami.

“Perasaan sunyi tetap ada tetapi kesunyian itu lebih bersikat perasaan tidak cukup pakej dalam hidup. Anak-anak amat memahami walaupun mereka turut terpukul dengan kejadian yang menimpa saya.

“Tambahan lagi, pendekatan yang diamalkan di sekolah tempat anak belajar sangat mementingkan hubungan ibu bapa dengan anak, saya pula jarang ada masa untuk menyertai apa sahaja program anjuran pihak sekolah,” jelas Vida sedikit terkilan.

Cerita Vida lagi, setiap perceraian yang berlaku dalam hidupnya juga memberi impak dan erti berbeza.

“Selepas bercerai kali pertama, saya jadi lebih fokus dalam perniagaan. Perceraian kali kedua pula berlaku selepas tiga bulan kami berumah tangga.

“Perkahwinan kali kedua berlaku pada Januari 2014. Ketika itu saya cuba mencari kekuatan selepas kematian dua orang. Perkahwinan itu hanya bertahan selama tiga bulan.

“Selepas perceraian kali ketiga, saya semakin kuat semangat dan reda dengan setiap ujian Tuhan. Saya percaya setiap perkara yang berlaku, sebenarnya ada hikmah kenapa jodoh saya tidak berpanjangan,” jelasnya.

Kata bekas guru di sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina itu, sebagai wanita solo, ibu tunggal atau lebih kasar disebut janda, hatinya pernah hancur dek tohmahan masyarakat.

“Hidup wanita bergelar ibu tunggal, kasarnya orang panggil janda sebenarnya menyeksakan. Kita susah nak lari daripada tohmahan masyarakat. Macam saya baru ini, pernah ada penganjur sebuah majlis di Johor Bahru, Johor yang membatalkan undangan terhadap saya kerana baru bercerai. Mungkin mereka tidak mahu saya turut serta, tidak sesuai barangkali. Kadangkala, saya terfikir, salahkah menjadi janda,” luah Vida.

Raya tahun ini

Meninggalkan kisah yang beremosi, pada tahun ini, Vida mahu meraikan suasana Hari Raya Aidilfitri dalam suasana yang berbeza. Tidak balik kampung halaman sebagaimana yang sering dilakukan, Vida mengundang 20 keluarga yang terdiri daripada kawan-kawan arwah anaknya dari Kelantan untuk datang beraya di kediamannya di Ipoh, Perak.

“Saya masih tidak dapat bayangkan bagaimana suasananya nanti apabila beraya dengan 20 keluarga lain dalam sebuah rumah. Mahunya meriah macam kenduri tetapi mesti seronok.

“Saya mahu mengembalikan nostalgia raya macam zaman dahulu. Anak-anak saya, Cik B dan si bongsu Mohd. Eric Zakuan mesti seronok,” jelas Vida yang kini muncul dengan single bertajuk I Am Me ciptaan komposer Edry KRU.

Selepas selesai sambutan Aidilfitri di Ipoh, jika tiada aral, Vida turut bercadang membawa anak-anaknya bercuti ke Jepun bagi memenuhi permintaan mereka.



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0623&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_01.htm#ixzz4km1NuUon
Hakcipta terpelihara

Berita Terkini

    Tiada ulasan

    Dikuasakan oleh Blogger.