Dakwaan JKDM tidak bayar tuntutan GST 12 PBT di Selangor tidak tepat - Media Shah Alam

Header Ads

Dakwaan JKDM tidak bayar tuntutan GST 12 PBT di Selangor tidak tepat

Admin:Mohamad/Email:mediashahalam@gmail.com

SEPANG – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mendedahkan bahawa 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor mengemukakan penyata yang meragukan dalam membuat tuntutan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dianggarkan berjumlah RM36 juta.

Ketua Pengarah JKDM, Datuk Seri T. Subromaniam berkata, ekoran daripada masalah itu, pihaknya telah bertindak menahan pembayaran tuntutan PBT-PBT berkenaan atas alasan mereka gagal mengakaunkan GST sepenuhnya untuk pembekalan bercukai.

“Bukan kita (JKDM) tidak membayar tuntutan mereka (12 PBT di Selangor). Sebaliknya bayaran itu ditahan disebabkan tuntutan yang dibuat oleh mereka didapati meragukan, tidak berasas, dan tidak sah.

“Justeru, dakwaan yang mengatakan JKDM tidak membayar tuntutan GST kepada PBT-PBT di Selangor adalah tidak tepat,” katanya kepada para wartawan pada Majlis Ramah Mesra Ketua Pengarah Kastam Bersama Media di sini semalam.

Selain itu, Subromaniam menambah, 12 PBT di Selangor juga didapati membuat tuntutan bagi item tidak layak dituntut seperti tuntutan kenderaan penumpang untuk kegunaan PBT yang dikategorikan sebagai ‘block input tax’ yang tidak dibenarkan undang-undang walaupun GST dikenakan semasa pembelian.

Beliau menegaskan, di bawah peruntukan undang-undang, JKDM berhak menahan pembayaran sebarang tuntutan jika terdapat keraguan atau dalam borang pengikraran yang dikemukakan.

Baru-baru ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balakong, Ng Tien Chee yang mendakwa kastam masih berhutang lebih RM36 juta jumlah tuntutan bayar balik GST kepada 12 PBT di Selangor pada Julai lalu.

Tien Chee mendakwa kononnya jumlah hutang tersebut melibatkan tuntutan sejak September 2016 sehingga Jun 2017.

Berita Terkini

    Tiada ulasan

    Dikuasakan oleh Blogger.