Hakim tarik diri dengar permohonan Anwar cabar Lembaga Pengampunan - Media Shah Alam

Header Ads

Hakim tarik diri dengar permohonan Anwar cabar Lembaga Pengampunan

Admin:Mohamad/Email:mediashahalam@gmail.com

KUALA LUMPUR, 25 Julai: Seorang hakim Mahkamah Tinggi di sini hari ini menarik diri daripada mendengar permohonan kebenaran semakan kehakiman Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mencabar keputusan Lembaga Pengampunan yang menolak petisyennya bagi sabitan meliwat.

Datuk Wira Kamaludin Md Said membuat keputusan itu di dalam kamarnya ketika pengurusan kes dengan dihadiri peguam Latheefa Koya, mewakili Anwar, isterinya Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan dua anak perempuan mereka, Nurul Izzah dan Nurul Nuha.

Latheefa memberitahu pemberita bahawa hakim itu menarik diri atas alasan beliau tidak sesuai untuk mendengar permohonan berkenaan.

Peguam itu berkata Kamaludin pernah menjadi peguam kanan persekutuan mewakili kerajaan dalam satu kes saman dikemukakan Anwar terhadap Perdana Menteri selain pernah menjadi timbalan pendakwa raya membabitkan kes liwat pertama Anwar.

“Mahkamah menetapkan 3 Ogos untuk pengurusan kes di hadapan timbalan pendaftar Mahkamah Tinggi,” katanya.

Pada 24 Jun 2015, Anwar dan anggota keluarganya memfailkan permohonan bagi mendapatkan kebenaran semakan kehakiman untuk membatalkan keputusan lembaga itu pada 16 Mac 2015 dan agar lembaga itu menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya memberi pengampunan dan membebaskan Anwar.

Mereka menamakan Lembaga Pengampunan, Peguam Negara dan Kerajaan Malaysia dalam permohonan tersebut.

Mahkamah Tinggi pada 15 Julai 2016 menolak permohonan kebenaran itu dan turut tidak membenarkan permohonan Anwar untuk merujuk persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan berhubung proses yang diambil dalam keputusan Lembaga Pengampunan.

Tidak berpuas hati dengan keputusan itu, Anwar menfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan di mana mahkamah itu pada 18 Jan lepas, mengembalikan semula permohonannya untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman itu ke Mahkamah Tinggi.

Mahkamah Rayuan juga membenarkan permohonan Anwar dan keluarganya untuk merujuk persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan bagi menentukan sama ada proses membuat keputusan oleh Lembaga Pengampunan berhubung pengampunan diraja boleh dicabar di mahkamah.

Anwar kini menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh setelah Mahkamah Persekutuan pada 10 Feb 2015 mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya bagi kesalahan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, pada 2008.– Bernama

Berita Terkini

    Tiada ulasan

    Dikuasakan oleh Blogger.