Keputusan Kes Nasab Anak Luar Nikah Perlu Dikaji Semula – Aidil - Media Shah Alam

Header Ads

Keputusan Kes Nasab Anak Luar Nikah Perlu Dikaji Semula – Aidil

Admin:Mohamad/Email:mediashahalam@gmail.com

Putrajaya: Hari ini dilaporkan satu keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan anak luar nikah daripada pasangan beragama Islam untuk berbinkan nama bapanya telah menimbulkan beberapa komplikasi perundangan, terutamanya aspek perundangan Syariah di kalangan orang-orang Islam, yakni soal pembahagian harta pusaka, wali ketika hendak bernikah, hukum-hakam berkaitan mahram, nasab, dan lain-lain lagi.

Koordinator Kempen Peguam Prihatin untuk Keadilan (CLJ), Aidil Khalid mendapati bahawa terdapat kemusykilan dalam penghakiman Mahkamah Rayuan tersebut terutamanya dari aspek penafsiran seksyen 13A(2) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 — yang merujuk kepada nama keluarga atau “surname” bagi seseorang anak:- “13A(2) The surname, if any, to be entered in respect of an illegitimate child …. where the person acknowledging himself to be the father of the child … the surname may be the surname of that person.”

“Mahkamah nampaknya secara mudah dan tanpa penelitian yang lebih rapi, memilih untuk mentafsirkan istilah “nama keluarga” atau “surname” dalam seksyen 13A(2) tersebut sebagai bersamaan dengan konsep ‘bin’ dan ‘binti’ di kalangan orang-orang Islam di negara ini.

Lantas, memutuskan bahawa seseorang anak tak sah taraf boleh di-bin atau di-binti-kan dengan nama ayahnya kerana seksyen 13A membenarkan seseorang anak tak sah taraf memakai “nama keluarga” ayahnya jika ayahnya bersetuju.”

“Walhal penelitian yang lebih rapi perlu dilakukan, kerana konsep nama keluarga atau “surname” tidak semestinya sama dengan bin dan binti terhadap nama ayah,” jelas beliau.

Menurut Aidil Khalid, di kalangan sesetengah keluarga atau masyarakat, konsep nama keluarga atau “surname” ini adalah satu nama yang dikekalkan secara turun-temurun.

Bererti, satu nama yang sama digunakan oleh moyang, ayah, anak, cucu dan seterusnya dan bukan menggunakan nama ayah. “Contohnya, kita biasa dengar nama keluarga al-Attas, atau al-Akiti, dan sebagainya dan kalangan masyarat Cina juga ada keluarga Wong atau Tan dan sebagainya.

Seksyen 13A merujuk kepada perkara ini dan hanya terpakai kepada keluarga yang mempunyai nama keluarga, sebab itu dinyatakan “if any”.

Menggunakan seksyen tersebut untuk membenarkan anak tak sah taraf berbinkan atau berbintikan nama ayahnya adalah sama sekali salah dan terkeluar daripada hasrat sebenar peruntukan tersebut,” tegas beliau lagi.

Justeru itu, beliau berpendapat kerajaan wajar dan mesti membawa perkara ini ke Mahkamah Persekutuan sebagai Mahkamah tertinggi untuk mendapatkan tafsiran yang lebih autoritatif berkenaan pemakaian Seksyen 13A Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian.

“Jika ada sebarang kelopongan, kerajaan juga wajar untuk pertimbangkan dalam memperbaiki akta sedia ada, supaya dapat diselaras dan diharmonikan dengan hukum syara’,” tegas aktivis peguam tersebut.-MENARA.MY

Berita Terkini

    Tiada ulasan

    Dikuasakan oleh Blogger.