Pemimpin DAP Berselindung Di Belakang Jantan Dalam Penjara - Media Shah Alam

Header Ads

Pemimpin DAP Berselindung Di Belakang Jantan Dalam Penjara

Admin:Mohamad/Email:mediashahalam@gmail.com

KUALA LUMPUR, 25 Julai: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan struktur kepimpinan pembangkang yang terbaru diumumkan sebagai melucukan, kerana ia umpama program untuk memberi ruang kepada pesara politik yang lanjut usia kembali bekerja semula.

Beliau berkata adalah sesuatu yang sinis dan mengelirukan juga apabila ada tiga pemimpin dalam struktur itu tetapi tidak jelas siapa dalam kalangan mereka yang mempunyai kuasa eksekutif, dan DAP pula sengaja tidak menonjolkan diri, walaupun parti itu yang sebenarnya menguasai pembangkang kerana memegang majoriti kerusi Parlimen.

“Untuk calon perdana menteri mereka, pembangkang nampak sangat terdesak apabila mereka cuba menanam kepercayaan rakyat bahawa individu itu ialah seorang yang berusia lebih 90 tahun, yang bukan merupakan anggota Parlimen dan partinya hanya mempunyai satu kerusi.

“Tapi kebenarannya ialah dalam sistem demokrasi, nombor tidak menipu, dan DAP tetap setakat ini merupakan parti paling dominan dalam barisan pembangkang,” katanya semasa menyampaikan ucaptama di Invest Malaysia 2017 di sini.

Tanpa menyebut nama, Najib berkata pemimpin DAP sejak separuh abad dulu, kini berselindung di belakang lelaki yang telah memenjara beliau, dan cuba memperdaya orang Melayu untuk menganggap bekas pemimpin negara itu merupakan calon sementara perdana menteri.

Beliau berkata demikian merujuk kepada pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang yang pernah dipenjarakan oleh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pada 14 Julai lepas, pakatan pembangkang yang dinamakan Pakatan Harapan mengumumkan struktur baharu kepimpinan mereka dengan menamakan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Umum dan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Presiden.

Najib juga berkata kata-kata pembangkang tidak boleh dipercayai sambil memberikan contoh kenyataan terbaru seorang anggota parti itu yang mempersoal kuota haji untuk Malaysia.

“Baru-baru ini seorang anggota utama parti itu berkata jika benar Malaysia mempunyai hubungan yang amat baik dengan Arab Saudi, kenapa kuota haji tidak dinaikkan. Pada hal kuota sudah dinaikkan, sebanyak dua kali tahun ini, daripada 22,230 kepada 27,900 dan kemudian ditambah kepada 30,200,” katanya.

Beliau berkata itu satu lagi contoh manfaat daripada dasar kerajaan kepada rakyat dalam hal ini hasil daripada dasar luar Malaysia mempererat hubungan di luar negara — berbanding jika negara berdendam berdekad lamanya seperti yang dilakukan oleh seorang pemimpin negara.

Najib berkata rakyat bagaimanpun tidak akan mendengar akan manfaat sebenar yang mereka peroleh daripada penglibatan Malaysia dengan Arab Saudi, China, India atau mana- mana jua negara daripada pembangkang.-MALAYSIAN TIMES

Berita Terkini

    Tiada ulasan

    Dikuasakan oleh Blogger.