Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu 2017,Penyertaan Kali Pertama Terus Ke Final - Media Shah Alam

Header Ads

Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu 2017,Penyertaan Kali Pertama Terus Ke Final


KUALA LUMPUR 26 Julai - 'Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu'.
Mungkin peribahasa tersebut adalah ungkapan paling tepat bagi menggambarkan kegembiraan tiga daripada sembilan peserta yang berjaya melangkah ke peringkat akhir Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2017 meskipun baru pertama kali menyertai pertandingan berprestij tersebut.

Salah seorangnya ialah Lisa Shimazaki yang mewakili negara Jepun menyifatkan kejayaannya melangkah ke peringkat akhir adalah satu kejutan yang amat besar kerana persaingan daripada peserta lain yang amat sengit.
Beliau yang merupakan pelajar di Universiti Bahasa Asing Tokyo berkata, latihan yang diberikan pensyarah di universiti memberikannya kelebihan untuk belajar bahasa Melayu dengan lebih baik.

Bagi persediaan untuk final, saya akan memastikan mendapat rehat yang cukup kerana esok merupakan hari yang bersejarah memandangkan akan berpidato di hadapan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Tidak dapat dinafikan bahawa perasaan bercampur baur antara teruja dan bimbang kerana buat pertama kali beraksi di peringkat antarabangsa dan bagi saya ini adalah peluang terbaik untuk melakukan sehabis baik bagi mendapat gelaran juara, katanya yang bertanding bagi kategori Antarabangsa kepada pemberita selepas pengumuman peserta yang layak ke pusingan akhir di Universiti Tenaga Nasional (Uniten) dekat sini semalam.

PABM 2017 memasuki edisi ke-11 penganjuran pada tahun ini yang bermula secara rasmi Ahad lalu dan kemuncaknya pada 26 Julai ini dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
PABM 2017 disertai seramai 52 peserta dari serata dunia dengan tiga kategori dipertandingkan.

Peringkat akhir bagi pertandingan ini akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada 26 Julai ini.
PABM 2017 merupakan anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi dengan kerjasama Dewan Bahasa Pustaka (DBP), Majlis Debat Universiti Malaysia (Madum) dan Majlis Kebudayaan Universiti Malaysia (Makum).

PABM pada kali ini akan menawarkan hadiah berupa piala pusingan berserta wang tunai berjumlah RM20,000, RM12,000 dan RM8,000 masing-masing untuk pemenang tempat pertama, kedua dan ketiga bagi setiap kategori.
Sementara itu, bagi penuntut Universiti Teknologi Petronas (UTP), Abdulrahman Khaled Hasan Saeed yang berasal daripada Yaman memberitahu, hanya dengan mengambil masa selama tujuh bulan untuk mendalami bahasa Melayu dan berlatih pidato, dia tidak menyangka melangkah ke peringkat akhir.

Saya hanya mula belajar bahasa Melayu pada tahun ini memandangkan tahun-tahun sebelum ini saya tidak berada di Malaysia, dan memang semacam tidak percaya apabila nama diumumkan oleh ketua juri.
Saya akan buat yang terbaik esok kerana bak kata pepatah Melayu 'Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan,' katanya yang merupakan peserta Pelajar Antarabangsa Di Malaysia (PAM).
Dalam pada itu, bagi salah seorang peserta negara yang layak ke pusingan akhir, Noor Haqim Noor Hamiddon berkata, tekanan amat dirasai untuk bertanding esok kerana bagi edisi lalu, Malaysia sentiasa muncul juara bagi kategori Alam Melayu.

Sebenarnya ini adalah antara tugas dan amanat yang amat berat bagi memastikan dapat mengharumkan nama Malaysia di persada global.
Oleh yang demikian, saya akan lakukan sehabis baik bagi memastikan dapat melakukan persembahan pada esok hari dengan mantap dan lancar, jelasnya yang akan bertanding bagi kategori Alam Melayu. - UTUSAN ONLINE

Berita Terkini

    Tiada ulasan

    Dikuasakan oleh Blogger.