Akhbar Thailand Mahu Kerajaan Negara Itu Rombak Sukan Antarabangsa - Media Shah Alam

Header Ads

Akhbar Thailand Mahu Kerajaan Negara Itu Rombak Sukan Antarabangsa

Admin:Mohamad/Email:mediashahalam@gmail.com

BANGKOK: Sebuah akhbar harian berbahasa Inggeris yang popular di sini menggesa rombakan dilakukan terhadap program sukan Thailand berikutan kualiti atlet negara itu yang dikatakan merudum pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Dalam teguran keras terhadap pihak berkuasa sukan negara itu, akhbar The Nation dalam lidah pengarangnya hari ini berkata, negara itu gagal terutama dalam (acara) sukan antarabangsa pada temasya dwitahunan yang sedang berlangsung di Kuala Lumpur.

"Pada Kuala Lumpur 2017 , Thailand telah gagal terutamanya dalam 'sukan antarabangsa'. Pendek kata sekiranya acara sukan serantau (tradisional) dikeluarkan daripada carta pingat, negara masih ketinggalan di belakang Malaysia, Singapura dan Vietnam," katanya.


Penyenaraian sukan tradisional dalam Sukan SEA, katanya, dijadikan alasan oleh negara itu jika ia kalah kepada Malaysia tetapi ia tidak boleh bergantung kepada alasan dan hujahan itu lagi kali ini.

Menurut akhbar itu, Thailand yang menyasarkan 109 pingat emas pada edisi ke-29 Sukan SEA 2017 itu, sudah kehabisan alasan dan pada masa sama turut hilang cengkaman dalam sukan antarabangsa.

Sementara itu, Malaysia selaku tuan rumah Sukan SEA, walaupun berdepan kritikan kerana menganjurkan sukan yang dikuasainya, membuktikan bahawa atlet mereka memang tiada tandingan apabila membabitkan sukan antarabangsa, menurut akhbar itu.

Berbaki dua hari pertandingan, Malaysia jauh mendahului dalam jumlah pungutan pingat dengan 101 emas (setakat petang ini) dan bakal dinobatkan sebagai juara keseluruhan manakala Thailand di tempat kedua dengan 58 emas.

Thailand ialah juara keseluruhan Sukan SEA di Singapura, dua tahun lalu. - BERNAMA


Berita Terkini

    Tiada ulasan

    Dikuasakan oleh Blogger.